Melayu Bangkit Penyatuan Ummah 2.0 Bakal Himpun 50 Ribu Peserta 30 Ogos Ini
KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Lantaran kejayaan program Melayu Bangkit dan penyatuan ummah yang diadakan tahun lalu maka UMNO Pasir Salak sekali lagi bakal menganjurkan himpunan Melayu Bangkit Penyatuan Ummah 2.0.
Himpunan yang bakal diadakan pada 30 Ogos ini dijangkakan bakal mengumpulkan 50 ribu orang.
Ketua UMNO bahagian Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Rahman berkata, himpunan ini merupakan sambutan bagi kejayaan program yang sama tahun lalu.
“Kita telah berjaya dengan dua program ini dalam menyuntik semangat untuk bersatu di kalangan orang Islam dengan satu nada mempertahankan bangsa dan agama kita.
“Maka kali ini kita adakan lagi bagi meneruskan agenda kebangkitan ini sebab cabaran semakin hebat dari pihak-pihak yang mahu menjatuhkan agama Islam dan ada yang cuba menghakis kepentingan agama Islam.
“Kita kena terus dengan semangat perjuangan ini agar tidak luntur,” ujar beliau dalam satu sidang media malam tadi.
Tambah Tajuddin, himpunan ini juga bertujuan untuk memberi amaran keras kepada individu-individu yang cuba mencabar atau mengusik hak orang Islam Bumiputera.
“Kita tidak bertujuan mencabar agama lain tapi kita hanya mahu mempertahankan hak agama Islam seperti yang termaktub dalam perlembagaan… jangan diusik atau dicabar.
“Sekarang ini terlalu banyak cubaan yang cuba mengganggu-gugat akan perkara ini dan ia tidak boleh dibiarkan lagi,” ujar beliau.
Himpunan ini akan diadakan di Sungai Manik, Pasir Salak bermula jam 8.00 malam.
Ia adalah program bersama dengan PAS dan menyaksikan antara penceramahnya ialah Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa. – UMNO ONLINE