Sejarah Pun Nak Ditukar… Ke Mana Hilangnya Pejuang-pejuang PH? – Armand

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah mempersoalkan ke mana perginya suara penyokong-penyokong Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini begitu taksub memberikan sokongan sehinggakan kerajaan baru terbentuk semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Katanya, hari ini kebanyakan penyokong PH berdiam diri apabila ada dikalangan pemimpin PH yang cuba hendak menukar sejarah terutamanya melupakan kekejaman komunis yang meratah dan menghancurkan negara.

“Malah lebih teruk pada zaman Malaysia Baru ini PH sudah mula mahu mengangkat komunis sebagai wira negara sedangkan anggota tentera pula diperkecilkan.

“Secara terang janganlah ubah sejarah negara kita, jagalah sensitiviti terutamanya keluarga mereka yang telah hilang dan meninggal dunia akibat zaman darurat bersama komunis. Kita tahu kekejaman komunis, kenapa mereka hendak tukar sejarah? Apa dah jadi ni?

“Apabila ada pemimpin-pemimpin besar Dap seperti Nga Kor Ming, Hannah Yeoh, Jamaliah iaitu cucu kepada Shamsiah Fakeh dengan bangga menyatakan datuk nenek mereka adalah pejuang kemerdekaan Malaysia secara terbuka, maka tentunya ada hati anggota tentera atau keluarga mereaka yang terkorban ini terguris” katanya kepada UMNO Online.

Tegas beliau, sewajarnya dalam bulan kemerdekaan ini pemimpin PH kembalikan semangat patriotik rakyat dan bukannya membangkitkan kemarahan dengan mengiktiraf komunis.

“Sejarah adalah fakta yang telahpun ditulis berdasarkan peristiwa yang benar-benar berlaku apatah lagi berkaitan dengan perjuangan kemerdekaan dan usaha anggota keselamatan yang mempertahankan negara.”

Tambahnya lagi pergorbanan yang dilakukan oleh pejuang-pejuang yang mengorbankan diri mereka demi negara yang tercinta ini harus dihargai dan jasanya tidak boleh dilupakan sampai bila-bila.

“Saya sebagai pemimpin muda dan pejuang UMNO menolak sekeras-kerasnya mana-mana pihak yang mahu mengangkat komunis sebagai wira negara.”

Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat untuk terus bangkit dengan meneruskan perjuangan demi kedaulatan negara. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit