Bekas Wakil Rakyat Mahu Kembali Ke Pangkuan UMNO

PADANG RENGAS 13 Julai – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan terdapat beberapa bekas wakil rakyat UMNO yang sebelum ini menyertai Pakatan Harapan (PH) mahu kembali menyertai UMNO.

Menurutnya, malah terdapat beberapa orang di antara mereka yang telah menghantar surat permohonan kepada bahagian UMNO masing-masing.

Beliau berkata, mereka berbuat demikian kerana dipinggirkan dalam PH.

“Ada beberapa orang yang hantar surat kepada UMNO, kita serah kepada bahagian untuk fikirkan, jumlahnya saya tak boleh dedahkan.

“Sebabnya mereka tidak dilayan (dalam PH), mereka mengharapkan mendapat sesuatu di sebelah sana tapi rupa-rupanya tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Padang Rengas di sini hari ini.

Menurut Asyraf Wajdi, sama ada permohonan mereka diterima atau sebaliknya, itu diserahkan kepada Majlis Tertinggi parti.

Tegas beliau, namun Majlis Tertinggi mesti mendengar suara hati rakyat bawahan.

“Namun rata-rata ahli tidak mahu menerima mereka kerana di kala parti tersungkur, mereka meninggal bahtera namun ketika bahtera semakin pulih mereka berkira-kira untuk kembali semula,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit