Ahli UMNO Digesa Lipat Gandakan Usaha Demi PRU Ke-15
KUANTAN, 1 Julai – Ahli UMNO digesa agar melipat gandakan usaha dan perlu terus berusaha dengan lebih kuat bagi memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 yang akan datang.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Datuk Seri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, menyeru agar kepimpinan Bahagian bersama-sama memikirkan punca yang menyebabkan kekalahan Barisan Nasional sewaktu PRU ke 14 yang lalu.
“Kita perlu terus mendaftar anak-anak kita, saudara mara kita sebagai pemilih sebelum tibanya Pilihan Raya Umum yang akan datang.
“Kita perlu bangun dan bangkit bersama, mengenepikan sebarang konflik dalaman serta berusaha memenangi hati pengundi,” katanya.
Berucap sewaktu Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Indera Mahkota semalam, beliau turut berharap agar setiap jentera parti dapat menjalankan tugas dalam memberikan penerangan dan penjelasan kepada pengundi berdasarkan fakta-fakta yang betul. – MediaUMNO