PRU14: PDRM Siasat Panggilan Telefon Misteri Diterima Pemimpin Politik, Pegawai Kanan Kerajaan

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Polis sedang menyiasat panggilan telefon misteri yang dikatakan diterima beberapa pemimpin parti politik serta pegawai kanan kerajaan pada hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) hari ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Antara yang mendakwa menerima panggilan tidak berjawab daripada nombor luar negara ialah Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Bendahari UMNO Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said serta pemimpin pembangkang seperti Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden PKR Tian Chua.

“Telefon bimbit saya turut menjadi mangsa serangan (terima panggilan misteri) seawal 5 pagi tadi yang memaparkan nombor asing daripada pihak yang tidak bertanggungjawab,” kata Mohamad Fuzi pada sidang akhbar selepas melawat pusat mengundi di Sekolah Rendah Kebangsaan Bangsar di sini, hari ini.

Beliau berkata polis percaya tindakan itu dibuat untuk mengganggu proses pemantauan hubungan komunikasi PRU14 antara pemimpin politik dan jentera parti masing-masing.

“Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sedang menjalankan siasatan terperinci,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata PDRM sedang mengenal pasti pihak yang melakukan kegiatan itu dan menganggap ia berniat jahat.

Hishammuddin menerusi akaun Twitter @HishammuddinH20 berkata beliau baru sahaja selesai mengundi apabila menyedari ada panggilan tidak berjawab daripada nombor-nombor tidak dikenali manakala Salleh turut menerima banyak panggilan spam pagi ini daripada nombor-nombor tidak dikenali, baik dari dalam mahupun luar negara.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata telefon bimbit serta e-mel utama kebanyakan calon Pakatan Harapan menjadi sasaran serangan gaya baharu tersebut.

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.