Prosiding Inkues Adib: Tommy Thomas Perlu Letak Jawatan

TINDAKAN campur tangan di saat akhir Peguam Negara, Tommy Thomas terhadap prosiding inkues Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim adalah satu tindakan yang amat memalukan sistem keadilan negara sekali gus memburukkan imej Jabatan Peguam Negara dan kerajaan Malaysia.

2. Prosiding inkues Allahyarham Muhammad Adib merupakan usaha sistem keadilan negara mencari punca kematian bekas anggota JPBM itu. Setelah lebih 3 bulan rakyat di seluruh negara menaruh harapan mencari kebenaran, Tommy Thomas tiba-tiba hadir campur tangan, mencemarkan prosiding inkues yang kini berada di fasa terakhir.

3. Beliau memberi alasan kononnya wujud elemen “konflik kepentingan” dan menjadikan peguam Syazlin Mansor sebagai mangsa. Namun beliau tidak jelaskan tentang kecenderungan Jabatan Peguam Negara yang seolah-olah telah lebih awal memutuskan “kematian Allahyarham Muhammad Adib bukan sebab dipukul”.

4. Sekiranya penglibatan Syazlin adalah salah, mengapa Tommy Thomas membutakan mata sejak hari pertama prosiding kes pada 11 Februari lalu? Kenapa beliau hanya “celik” tentang Syazlin selepas 3 bulan ketika mana prosiding inkues berada di saat akhir? Adakah ianya semata-mata kerana “Syazlin” atau testimoni yang menegaskan “Allahyarham Muhammad Adib maut kerana dipukul”?

5. Selain itu, ekoran penglibatan Syazlin dilihat salah di mata Tommy Thomas, apakah prosiding inkues yang telah berlangsung selama lebih 3 bulan itu tidak sah dari sudut perundangan negara? Sesungguhnya tindakan tidak profesional beliau memberikan implikasi mengelirukan orang ramai terhadap proses mencari keadilan buat Allahyarham Muhammad Adib.

6. Kak Su menegaskan bahawa Tommy Thomas perlu berhenti menjadikan Jabatan Peguam Negara sebagai “firma guaman” hak miliknya sendiri kerana badan perundangan itu merupakan sebuah badan bebas milik kerajaan yang berperanan mendokong sistem keadilan negara dan bukan untuk bertindak memuaskan hati atau kehendak pihak tertentu.

7. Selain daripada isu “aksi bergelek sakan” yang memalukan badan perundangan negara sebelum ini, Tommy Thomas sejak dilantik sebagai Peguam Negara dilaporkan telah membuat banyak keputusan pelik dengan menarik balik dan tidak meneruskan pendakwaan kes-kes tertentu di mahkamah sehingga mencetus banyak persoalan kepada masyarakat.

8. Justeru itu, Kak Su berpandangan bahawa Tommy Thomas nampaknya tidak sesuai memegang jawatan Peguam Negara dan perlu segera meletak jawatan secara terhormat. Perdana Menteri juga selaku pemimpin tertinggi negara seharusnya mempertimbang untuk mencadangkan Yang DiPertuan Agong supaya menamatkan khidmatnya sebagai Peguam Negara demi menjamin ketelusan badan perundangan negara.

#DemiKeadilan

Kak Su @ Datuk Suraya Yaacob
Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia
Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah
Ketua UMNO Bahagian Pendang
Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Tiang

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.