Pemimpin Dap Dibidas, Tak Sensitif Hal Ehwal Agama Islam… Zakat Bukan Peruntukan Politik

NIBONG TEBAL, 29 Mei – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal membidas tindakan pemimpin Dap yang disifatkan tidak prihatin berkaitan hal ehwal agama Islam.

Ketuanya Mohd Norhiesam Ismail berkata, tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dap Pulau Tikus, Chris Lee Chun yang memuat naikkan gambarnya mengagihkan hamper zakat Majlis Agama Islam negeri itu jelas menunjukkan dirinya tidak peka dan sensitif dengan agama Islam.

“Pemuda UMNO Nibong Tebal berasa sangat kecewa dan sedih atas isu yang diviralkan ini. Seharusnya ADUN tersebut sedar bahawa sumbangan itu adalah dari sumber zakat orang Islam yang dibayar, diurus dan penerimanya juga adalah dari orang Islam. Sepatutnya beliau perlu lebih peka kepada isu ini kerana ini adalah urusan orang Islam.

“Tidak menjadi kesalahan untuk beliau turut hadir bersama dalam penyampaian tersebut tetapi sebagai menghormati institusi Islam berilah wakil atau pemimpin Islam untuk menyampaikan sumbangan zakat ini. Masih ramai lagi pemimpin-pemimpin atau NGO’s Islam yang berada di dalam negeri ini yang lebih layak untuk menyampaikannya.

“Perlu di ingat, sumbangan ini adalah hasil pungutan zakat umat Islam tidak mengambil kira latar belakang politik, bukan peruntukan politik atau peruntukan dari Kerajaan Persekutuan atau negeri,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Beliau turut membidas tindakan kebanyakan Ahli Parlimen dan ADUN dari kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang majoritinya bukan beragama Islam menggunakan hamper zakat ini semata-mata untuk mendapatkan ‘millage politik’.

“Peruntukan zakat bukan untuk dipolitikkan, ini soal agama! Persoalannya di mana peruntukan Parlimen dan ADUN untuk sumbangan Ramadan tahun ini? Mengapa menggunakan peruntukan zakat untuk mendapat kepentingan politik.

“Pihak kami juga menerima banyak rungutan dari pihak kepimpinan masjid dan surau, sejak kerajaan PH memerintah tiada lagi sumbangan dari pihak ADUN atau Ahli Parlimen. Ia tidak semeriah dulu bagi menghidupkan pelbagai aktiviti di bulan yang mulia ini bagi umat Islam,” ujarnya lagi.

Justeru, Pemuda UMNO Nibong Tebal ingin menyarankan kepada Majlis Agama Islam Pulau Pinang agar lebih peka, sensitif dan dapat memberikan garis panduan tentang hal agihan zakat ini supaya tidak terus menjadi fitnah dalam masyarakat apatah lagi ini bukan kali pertama tetapi sudah beberapa kali berlaku di negeri ini.

“Pemuda UMNO Nibong Tebal juga berharap supaya isu ini tidak dijadikan agenda kerajaan Dap untuk mencampuri hal ehwal umat Islam di negeri ini.

“Duit zakat adalah hasil ibadat orang Islam maka orang bukan Islam tidak perlu masuk campur dan biarlah orang Islam yang mengurus dan menyampaikan kepada asnaf yang layak,” tegas beliau lagi. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.