Kit Siang Disaran Belajar Hormat Kabinet Dan Peraturan Untuk Kelestarian Negara

KUANTAN, 28 Mei – Pengarah Strategik Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuantan, Mohd Afif Mohd Anuar membidas sikap Lim Kit Siang yang tidak menghormati Kabinet dan menyarankan agar veteran Dap itu belajar untuk menghormati peraturan.

Beliau berkata demikian ekoran kenyataan Kit Siang yang mahu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memecat Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Timbalan Menteri Pendidikan yang juga ahli Dap menggantikan jawatan tersebut, baru-baru ini.

“Sebagai sebuah parti pembangkang, UMNO akan terus memantau dan menegur sekiranya ada tindakan pemimpin kerajaan yang boleh merosakkan negara sebagaimana sikap Kit Siang yang sudah pasti memberi impak buruk apatah lagi dalam keadaan kepimpinan kerajaan baru ini yang amatlah tidak memuaskan.

“Tindakan Kit Siang ini adalah tidak wajar. Ini seolah-olah menggambarkan cara Dap untuk menyebar ideologi dengan ‘menyerang’ sistem pendidikan di negara ini,” katanya kepada UMNO-Online.

Sebelum ini terdapat dakwaan beberapa siri serangan dilakukan pemimpin Dap terhadap menteri pendidikan itu sejak tahun lalu walaupun ia telah dinafikan oleh Kit Siang.

Turut tular di media apabila Dr Maszlee Malik dikatakan tidak bersetuju dengan candangan untuk memasukkan silibus pembelajaran semua agama ke sekolah-sekolah.

“Umum jelas, Perlembagaan Persekutuan menyebut agama Persekutuan adalah Agama Islam dan dengan klausa ini, Agama Islam boleh di ajar di sekolah-sekolah milik kerajaan dan ianya hanya kepada murid yang beragama Islam.

“Saya tidak nampak ini menjadi satu masalah kepada murid yang menganut agama lain kerana ini sudah di amalkan sejak berabad yang lalu,” ujar beliau.

Tambah Afif, masalah yang paling ketara adalah apabila pemimpin Dap dilihat ingin menyentuh kedaulatan Perlembagaan Persekutuan dengan niat yang tidak betul.

“Di sekolah-sekolah vernakular, tiada siapa pernah mempersoalkan silibus bersifat kepercayaan atau agama dan kenapa ingin melakukan sebaliknya?

“Sekiranya Dap ingin mempersoalkan tentang diskriminasi, seharusnya Kit Siang mempersoalkan tindakan syarikat-syarikat yang ingin memilih perkerja dengan meletakkan bahasa Mandarin sebagai syarat kerana kriteria yang ditetapkan ini cukup melambangkan diskrimasi kaum.

“Sebenarnya, sejak Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara, banyak kekalutan yang berlaku boleh merosakkan pemikiran generasi akan datang.”

Katanya, ketidakstabilan politik adalah cetusan matlamat Dap untuk menawan Malaysia dan menjadikan negara republik mereka sendiri.

“Apakah agenda Kit Siang sebenarnya? Adakah serangan ini dilakukan kerana Tun Mahathir tidak berpihak kepada rakan karibnya Anwar Ibrahim atau kerana jawatan Perdana Menteri masih menjadi rebutan?” soal beliau lagi. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.