Akar Umbi Tetap Teguh, UMNO Melaka Tekad Teruskan Perjuangan


KUALA LUMPUR, 10 Jun – Mesyuarat UMNO Cawangan bagi seluruh negeri Melaka yang berlangsung lancar tanpa ada sebarang masalah membuktikan sokongan akar umbi terhadap parti tersebut tetap kukuh.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, mesyuarat cawangan UMNO bagi Negeri Melaka ini telah selesai sepenuhnya dan mencapai prestasi yang di luar jangka malah tiada pembubaran.

“Terdapat sebanyak 433 cawangan UMNO di seluruh Negeri Melaka dan semuanya sudah selesai laksanakan mesyuarat cawangan… semuanya kekal dan tiada pembubaran.

“Kali ini sambutan tidak dijangka dan luar biasa dengan kehadiran golongan-golongan muda yang turut serta dalam mesyuarat cawangan-cawangan UMNO yang diadakan,” katanya kepada UMNO-Online.

Menurutnya, persidangan mesyuarat tahunan cawangan yang berlangsung dalam tempoh dua bulan setengah telah memberi peluang kepada Bahagian-bahagian UMNO yang mempunyai jumlah cawangan yang banyak untuk menyempurnakan tanggungjawab tersebut.

“Sehubungan itu UMNO Melaka yakin dengan kehadiran golongan muda yang hadir pada persidangan mesyuarat itu maka perjuangan parti akan diteruskan dengan golongan muda ini menjadi pemangkin UMNO pada masa akan datang.”

Dalam masa yang sama, beliau memaklumkan bahawa kerjasama politik antara UMNO dan PAS adalah satu rahmat buat orang Melayu kerana kesepakatan kedua-dua parti atas nama penyatuan ummah sudah lama ditunggu-tunggu, apatah lagi selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) apabila hak-hak kaum Melayu telah diremehkan oleh Pakatan Harapan (PH).

“Insya-Allah… dengan kerjasama penyatuan ummah yang dijalinkan oleh UMNO dan PAS, dengan sokongan pengundi muda, saya yakin UMNO dapat merampas kembali negeri dan Daerah Undangan Negeri (DUN) yang kalah,” katanya lagi. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.