Nyahklasifikasi Minit Lembaga Pengampunan: Mengapa PM Diam Diri Ketika Institusi Diraja Dipertikaikan?
ALOR SETAR, 23 Nov – UMNO Kedah mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan penjelasan terbuka berhubung proses nyahklasifikasi minit mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dikaitkan dengan isu pengampunan bersyarat dan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, perkara itu menimbulkan persoalan serius bukan sahaja mengenai proses pentadbiran, malah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan dalam mempertahankan kemuliaan institusi Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, terdapat tiga persoalan prinsip yang perlu dijawab Perdana Menteri, termasuk asas perundangan dan kuasa yang digunakan dalam proses nyahklasifikasi dokumen berkenaan.
“Sekiranya benar proses nyahklasifikasi tersebut dilaksanakan tanpa kelulusan Kabinet, Perdana Menteri wajib menjelaskan asas perundangan, bidang kuasa serta pertimbangan yang digunakan. Adakah Perdana Menteri dimaklumkan terlebih dahulu? Siapakah yang memberikan arahan?” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau turut mempersoalkan mengapa perkara yang mempunyai implikasi besar terhadap institusi diraja dan kepentingan negara tidak dibincangkan secara kolektif oleh Jemaah Menteri.
Katanya, prinsip ketelusan dan pematuhan proses undang-undang tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengetepikan kebertanggungjawaban pentadbiran, khususnya apabila ia menyentuh prerogatif pengampunan Yang di-Pertuan Agong.
Mengulas persoalan kedua, Shaiful Hazizy berkata, Perdana Menteri perlu tampil dengan pendirian jelas bagi mempertahankan kemuliaan institusi Yang di-Pertuan Agong ketika keputusan pengampunan menjadi sasaran pelbagai pertikaian terbuka.
“Di manakah suara tegas Perdana Menteri untuk menjelaskan kedudukan institusi Yang di-Pertuan Agong menurut Perlembagaan Persekutuan?
“Mengapa Kerajaan begitu pantas memberikan penjelasan dalam pelbagai kontroversi politik, tetapi kelihatan begitu berhati-hati apabila timbul polemik yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kemuliaan institusi diraja?” soalnya.
Beliau menegaskan, mempertahankan institusi Yang di-Pertuan Agong tidak bermaksud menghalang proses kehakiman atau menafikan hak mana-mana pihak mendapatkan keadilan, sebaliknya Kerajaan mempunyai tanggungjawab memastikan perbezaan tafsiran undang-undang tidak bertukar menjadi serangan terhadap kewibawaan institusi diraja.
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan kemungkinan pertimbangan politik mempengaruhi pendirian Kerajaan dalam menangani isu berkenaan, termasuk tekanan atau pendirian rakan politik dalam Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, DAP merupakan antara pihak yang secara terbuka mengkritik dan mempertikaikan keputusan mesyuarat Lembaga Pengampunan serta tindakan berkaitan.
“Kesetiaan kepada Raja dan Negara bukan sekadar ungkapan dalam Rukun Negara, tetapi suatu tanggungjawab yang mesti diterjemahkan melalui tindakan,” katanya.
Sehubungan itu, UMNO Kedah mendesak Perdana Menteri menjelaskan secara terbuka proses dan kuasa nyahklasifikasi dokumen berkenaan, termasuk sama ada perkara itu pernah dirujuk kepada Jemaah Menteri.
Katanya, Kerajaan juga perlu memperjelaskan langkah bagi memastikan institusi Yang di-Pertuan Agong terus dihormati selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Institusi Yang di-Pertuan Agong bukan milik mana-mana parti politik. Kemuliaannya wajib dipelihara tanpa mengira siapa yang menjadi Perdana Menteri dan parti mana yang membentuk Kerajaan,” katanya. – UMNO Online
