Minit Rahsia Tersebar: PM Wajib Beri Penjelasan – Hasmuni Hassan

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, wajib tampil memberikan penjelasan rasmi kepada rakyat berhubung pendedahan sebahagian minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan kali ke-64 yang dimuat naik bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, di Facebooknya.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Malaysia, Datuk Hasmuni Hassan berkata, tindakan mendedahkan dokumen yang didakwa bertaraf rahsia itu merupakan perkara serius yang menimbulkan persoalan besar mengenai pengurusan dokumen rasmi kerajaan serta pematuhan terhadap kerahsiaan negara.

Katanya, terdapat tiga persoalan utama yang perlu dijawab Perdana Menteri bagi memastikan perkara berkenaan tidak terus menimbulkan kekeliruan dan polemik dalam kalangan rakyat.

“Pertama, Perdana Menteri perlu mengesahkan kesahihan dakwaan bahawa minit mesyuarat berkenaan telah dinyahklasifikasikan, termasuk tarikh sebenar, pihak yang meluluskannya di bawah Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88), serta sama ada proses itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selaku Pengerusi Lembaga Pengampunan.

“Kedua, bagaimana dokumen rasmi kerajaan boleh berada di tangan individu luar yang bukan anggota Lembaga Pengampunan mahupun Jemaah Menteri? Perkara ini menimbulkan persoalan serius mengenai kawalan dan disiplin pengurusan dokumen sulit kerajaan.

“Ketiga, memastikan siasatan telus dan tanpa pilih kasih dijalankan di bawah Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Rahsia Rasmi 1972, dan Seksyen 203A Kanun Keseksaan berhubung penyebaran dokumen tersebut serta penggunaan ungkapan jelik “our King Kleptocrat” yang mencemar kemuliaan institusi diraja dan kuasa prerogatif Baginda di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Hasmuni yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu menegaskan integriti pentadbiran dan kedaulatan institusi Raja Berperlembagaan tidak boleh dikompromi.

“Tindakan Perdana Menteri yang masih memilih untuk tidak memberikan penjelasan yang telus walaupun insiden telah berlaku hampir seminggu hanya membuktikan kelemahan dan kecuaian pentadbiran yang amat ketara,” tegasnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO