Ahmad Zahid Perkukuh Kerjasama Pusat-Negeri Demi Masyarakat Desa

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Usaha memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri terus diberi perhatian bagi memastikan agenda pembangunan luar bandar dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan demi kesejahteraan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keserasian dan kerjasama erat dalam kalangan Exco-Exco Luar Bandar dari seluruh negara menjadi antara elemen penting dalam memperkasakan pembangunan masyarakat desa.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis makan malam bersama Exco-Exco Luar Bandar dari seluruh negara di Desaru, Johor, malam tadi.

Menurut Ahmad Zahid, pertemuan itu bukan sekadar mengeratkan hubungan, malah menjadi ruang memperkukuh kesepakatan antara kepimpinan negeri dan Persekutuan sebelum perbincangan lebih terperinci diteruskan dalam mesyuarat.

“Majlis malam tadi menjadi ruang untuk memperkukuh keserasian dalam kalangan Exco-Exco Luar Bandar dan memperkasa kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau berharap segala pandangan dan input yang dibawa dalam pertemuan berkenaan dapat diterjemahkan kepada tindakan yang lebih berkesan, khususnya dalam memastikan kepentingan serta kesejahteraan masyarakat desa di seluruh negara terus diberi perhatian.

“Insya-Allah, saya berharap segala pandangan yang dibawa hari ini dapat diterjemahkan kepada tindakan yang lebih berkesan demi kesejahteraan masyarakat desa di seluruh negara,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO