Persoalan Pengampunan… Tanya PMX, Bukan Istana – Onn Hafiz

JOHOR BAHRU, 12 Nov – Semua pihak diingatkan supaya tidak terlalu ghairah berpolitik sehingga melupakan prinsip kedua Rukun Negara, iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, khususnya dalam menangani isu berkaitan institusi diraja.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sebarang kekeliruan berhubung isu pengampunan sepatutnya mendapatkan penjelasan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan bukannya menjadikan Istana sebagai sasaran pertikaian politik.

Ini kerana katanya, dalam sesi Dewan Rakyat pada 10 Disember 2024, PMX sendiri menyatakan: “Saya yang bawa kes pengampunan itu untuk dimasukkan dalam agenda.”

Menurutnya, pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) sendiri yang membawa perkara berkenaan ke Lembaga Pengampunan.
Onn Hafiz turut membangkitkan tindakan Tony Pua dan kepimpinan Dap yang menurutnya bukan kali pertama mencetuskan kontroversi melibatkan institusi diraja.

Sebelum ini, Tony Pua pernah disiasat polis susulan kenyataannya berhubung titah DYMM Sultan Selangor dan kini, sekali lagi Istana mahu diheret ke dalam pertikaian politik.

“Kebiadaban dan penderhakaan kepada Raja tidak boleh dinormalisasikan,” katanya.

Beliau berkata, setiap banduan mempunyai hak untuk memohon pengampunan, manakala kuasa pengampunan merupakan hak prerogatif Yang di-Pertuan Agong sebagaimana termaktub dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya, keputusan tersebut dibuat melalui proses Lembaga Pengampunan yang turut melibatkan wakil Kerajaan Persekutuan dan Peguam Negara.

Malah, Yang di-Pertuan Agong sendiri telah menitahkan bahawa perintah pengampunan bersyarat tersebut adalah jelas dan hendaklah dihormati.

Baginda turut menegaskan bahawa sebarang hujah yang mempertikaikan perintah berkenaan adalah sama seperti mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong.

“Jadi, mengapa Tony Pua masih mahu rakyat mengajukan persoalan kepada Istana? Kalau ada persoalan mengenai pelaksanaannya, tanyalah pihak yang bertanggungjawab. Jangan pula Istana dijadikan sasaran pertikaian politik,” katanya.

Onn Hafiz turut mengingatkan semua pihak supaya tidak terlalu ghairah berpolitik sehingga lupa prinsip kedua Rukun Negara, kesetiaan kepada raja dan negara. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO