PRU-14 Buka Mata Rakyat, UMNO Akan Terus Bangkit Demi Agama, Bangsa Dan Negara

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Bagi Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusof, beliau berharap kekalahan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu akan membuka mata semua orang Melayu dan bukannya ahli UMNO sahaja.

Jelasnya, jatuhnya UMNO bukannya bukan membawa makna parti UMNO itu yang jatuh tetapi jatuhnya UMNO adalah satu kesedihan jatuhnya bangsa Melayu.

“Harapan saya agar semua rakyat Malaysia bangkit untuk bersama-sama bersatu hati bekerjasama dengan PAS demi agama, bangsa dan negara. Kita buang yang keruh, ambil yang jernih, berganding bahu di semua peringkat untuk kita bersama-sama bangkit mempertahankan agama Islam dan negara ini,” ujar beliau kepada UMNO-Online sempena ulang tahun UMNO ke-73 tahun, Sabtu lalu.

Dalam hal tersebut, Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Wan Muhammad Azri Wan Deris pula berkata, jangan ada yang beranggapan parti keramat ini akan berkubur kerana UMNO masih teguh.

“Inilah perjuangan yang diasaskan oleh pejuang-pejuang Melayu terdahulu dan diteruskan oleh pelapis parti demi memastikan perjuangan murni diteruskan dan dimartabatkan. Saya yakin dengan 73 tahun UMNO, pastinya PRU-15 akan menjadi kemenangan besar kita bersama-sama PAS,” ulasnya.

Senada dengan beliau, Exco Pergerakan Puteri UMNO, Datin Anne Ngasri turut melahirkan harapan agar semua pihak terus bersatu demi memastikan UMNO terus teguh.

“Saya yakin, UMNO akan terus teguh dan kukuh dalam mempertahankan Agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

11 Mei lalu, ulang tahun UMNO disambut meriah walaupun dalam suasana sederhana dengan hampir 2,000 orang ahli parti berkumpul di PWTC bagi meraikan ulang tahun parti keramat ini.

Lebih memberi makna, selain parti komponen Barisan Nasional (BN), barisan kepimpinan PAS juga buat julung-julung kalinya bersama-sama meraikan hari bersejarah ini. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.