FELCRA Catat Keuntungan Boleh Agih Kedua RM190.6 Juta – Ahmad Zahid

MELAKA, 29 Okt – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam mengumumkan agihan Keuntungan Boleh Agih Interim 2/2026 Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) Bhd berjumlah RM190.6 juta.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak RM63.7 juta atau 50.2 peratus, berbanding RM126.9 juta agihan keuntungan interim 1/2026 yang dibayar kepada peserta pada Julai lalu.

“Agihan bagi tempoh Mei hingga Ogos 2026 ini akan memberikan manfaat kepada hampir 72,000 peserta melibatkan 734 projek di seluruh negara, dengan pembayaran kepada peserta yang layak akan dilaksanakan secara berperingkat bermula hari ini,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Agihan Keuntungan Interim 2/2026 Projek-Projek Peserta FELCRA di Ayer Keroh di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang dan Pengerusi FELCRA, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub.

Sementara itu, Ahmad Zahid mahu FELCRA menyediakan bantuan khas kepada peserta dalam kategori B40 yang terlibat dalam program tanam semula bagi meringankan beban mereka sepanjang tempoh menunggu tanaman mengeluarkan hasil, khususnya menjelang sambutan Aidilfitri.

Beliau turut mengarahkan FELCRA untuk memastikan tanah peserta terus menjana pulangan yang baik dalam keadaan pasaran yang berubah.

“Harga komoditi dan cuaca mungkin di luar kawalan kita, tetapi produktiviti ladang, kos operasi dan mutu pengurusan ialah tanggungjawab yang mesti dilaksanakan dengan cekap dan berdisiplin.

“Penjimatan pula perlu datang daripada pengurangan pembaziran dan perolehan berhemah, bagi projek yang pulangannya masih rendah, saya mahu FELCRA mengenal pasti punca dan menyediakan pelan penambahbaikan dengan sasaran jelas,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, peserta juga perlu diberikan penerangan yang mudah difahami tentang prestasi projek mereka, termasuk hasil pengeluaran, kos pengurusan dan asas pengiraan agihan keuntungan. – BERNAMA

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO