RUU Pendanaan Politik: Syor Dasar Dibawa Ke JKPK Dalam Masa Terdekat – Azalina

KUALA LUMPUR, 27 Okt – Beberapa syor dasar bagi penggubalan Rang Undang- Undang (RUU) Pendanaan Politik akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) dalam masa terdekat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata ia bagi proses penelitian dan mendapatkan maklum balas lanjut sebelum dimuktamadkan untuk pertimbangan Jemaah Menteri.

Katanya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah menganjurkan Konvensyen Pendanaan Politik 2026 pada 8 Sept lepas dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) bagi membentangkan dapatan kajian serta mendapatkan pandangan lanjut pihak berkepentingan.

“Berdasarkan dapatan kajan, sesi libat urus dan proses triangulasi yang dilaksanakan, beberapa syor dasar telah disediakan untuk pertimbangan dalam penggubalan RUU Pendanaan Politik.

“la meliputi antara lain skop pemakaian undang-undang, sumber dan had sumbangan, mekanisme penerimaan dana, serta pelaporan, audit, ketelusan, kesalahan dan hukuman” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) mengenai mekanisme dalam RUU Pendanaan Politik bagi melindungi penyumbang kepada semua parti daripada tindakan balas disebabkan sumbangan politik yang dibuat secara sah.

Mengenai kebimbangan bahawa penyumbang dana politik mungkin berdepan audit cukai, semakan lesen atau kontrak kerajaan, Azalina berkata prinsip yang sedang dipertimbangkan ialah penyumbang dana politik yang sah tidak sepatutnya berdepan sebarang tindakan balas atau layanan tidak adil, namun tidak bermaksud mereka kebal daripada tindakan undang-undang.

“Sekiranya terdapat sebab yang sah dan bebas, contohnya berkaitan ketidakpatuhan cukai pelanggaran syarat lesen, kesalahan jenayah atau isu dalam proses perolehan kerajaan, tindakan sewajarnya tetap boleh diambil mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.

“Justeru, yang perlu dipastikan ialah terdapat pemisahan yang jelas antara sumbangan politik yang dibuat secara sah dengan fungsi kerajaan dalam melaksanakan audit, pengawalselioon, penguatkuasaan dan perolehan,” katanya.

Azalina berkata cadangan mewajibkan pelaporan berkala, audit dan pendedahan maklumat kepada umum, selain menetapkan kesalahan serta penalti yang bersesuaian, dapat membantu memastikan semua pihak tertakluk kepada peraturan yang sama dan bertanggungjawab sekiranya berlaku pelanggaran. – BERNAMA

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO