MTL: Wan Rosdy Lepaskan Misi Menghantar, Membekal Makanan Kering

KUALA LUMPUR, 27 Okt – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah melepaskan kumpulan untuk Misi Menghantar dan Membekal Makanan Kering sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), pagi ini.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO turut menyeru seluruh rakyat di Negeri Pahanguntuk sentiasa berwaspada dan sentiasa peka terhadap keadaan semasa.

“Pagi ini saya melepaskan kumpulan bagi Misi Menghantar dan Membekal Makanan Kering ke Pangkalan Hadapan Peringkat Negeri Pahang 2026/2027 di perkarangan Jelai Inn Boutique Hotel, Jelai.

”Misi ini merupakan sebahagian daripada persediaan awal Kerajaan Negeri Pahang bagi memastikan bekalan asas tersedia di pangkalan hadapan di seluruh negeri Pahang sebagai persiapan menghadapi MTL.

“Saya menyeru agar seluruh rakyat negeri Pahang khasnya agar sentiasa berwaspada, berhati-hati dan mematuhi arahan pihak berkuasa jika berlaku sebarang bencana. Saya kemudian mempengerusikan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK). Semoga Negeri Pahang terus aman, makmur dan sejahtera. Insya-Allah,” katanya.

Pada Selasa media melaporkan, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyeru orang ramai terutama yang berada di kawasan berisiko, supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti ramalan serta amaran cuaca semasa.

Ahmad Zahid turut menasihati orang ramai supaya mengelak berada di kawasan yang mudah dinaiki air.

Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 dijangka bermula hari ini dan berterusan sehingga Mac 2027.

Menurut MET Malaysia, tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku antara November ini hingga Januari 2027.

Ia boleh meningkatkan risiko banjir khususnya di kawasan berhampiran sungai dan kawasan rendah.

Angin kencang juga boleh menyebabkan laut bergelora serta kenaikan paras laut di perairan Laut China Selatan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO