Aspek Keselamatan Pekerja Tidak Boleh Dikompromi

KUALA LUMPUR, 23 Okt – Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan memaklumkan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) perlu menjadi keutamaan dalam setiap pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata ia penting bagi memastikan kebajikan serta keselamatan pekerja sentiasa terpelihara.

“Kejayaan pembangunan infrastruktur bukan sekadar diukur melalui projek yang siap mengikut jadual dan kos yang ditetapkan, tetapi juga melalui keupayaan kita memastikan setiap pekerja dapat pulang ke rumah dengan selamat kepada keluarga masing-masing.

“Pematuhan kepada Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan perlu diperkukuh dengan mengenal pasti dan mengawal risiko sejak peringkat perancangan dan reka bentuk, di samping kerjasama erat antara Kementerian Kerja Raya (KKR), JKR, CIDB, JKKP, pihak industri dan semua pihak berkepentingan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Ahmad berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia MSOSH Kali Ke-44 Tahun 2026 di One World Hotel, Petaling Jaya, semalam.

Dalam pada itu beliau turut merakamkan penghargaan kepada MSOSH atas penganjuran majlis ini serta semua organisasi yang menerima pengiktirafan atas komitmen dalam memperkukuh aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).

“Bagi tahun 2026, sebanyak 199 pengiktirafan MSOSH Award dan 28 pengiktirafan MSOSH RISE Award telah disampaikan, menjadikan keseluruhan 227 pengiktirafan.

“Tahniah kepada semua pemenang khususnya kepada penerima anugerah Platinum, PETRONAS Carigali Sdn. Bhd serta Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd.

“Semoga pengiktirafan ini menjadi pemangkin kepada penambahbaikan berterusan dan pembudayaan amalan kerja yang selamat di semua sektor, khususnya industri pembinaan,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO