Bertanya Untuk Dapatkan Penjelasan Atau Jatuhkan Hukuman?
KUALA LUMPUR, 17 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Mohd Razlan Rafii menimbulkan persoalan adakah pertanyaan yang ditimbulkan itu untuk mendapatkan penjelasan, atau untuk menjatuhkan hukuman.
Responnya dalam satu hantaran di Facebook, merujuk kepada isu baru-baru ini yang melibatkan seorang mahasiswi, Mohd Razlan berkata pokok persoalannya ialah adab bertanya dan kekuatan hujah.

“Status mahasiswa bukan perisai daripada kritikan, sebagaimana kedudukan pemimpin bukan benteng daripada teguran.
“Kalau berani menyoal, bersedialah menerima jawapan. Kalau mahu mencabar hujah, bersedialah hujah sendiri diuji. Kebebasan bersuara tidak bermakna pandangan kita wajib dipersetujui.
“Kita boleh keras mengkritik dan tajam berbahas, tetapi adab dan rasa hormat mesti dijaga. Tegas bukan bererti biadab. Berani bukan bererti boleh menghina,” katanya.
Jelasnya, perbezaan dapat dilihat pada bentuk soalan, cara ia disampaikan dan kesediaan menerima jawapan.
Tambahnya lagi, UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak pernah menghalang kebebasan bersuara rakyat Malaysia.
“Hak untuk bertanya, menegur dan mengkritik mesti dihormati. Namun, hak yang sama turut terpakai kepada mereka yang menjawab dan menyanggah,” katanya. – UMNO ONLINE
