Agenda Malaysia Biru: UMNO Komited Perkukuh Masa Depan Bangsa dan Agama

TANAH MERAH, 17 Okt – Agenda Malaysia Biru yang dibawa oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencerminkan komitmen beliau dalam memperkukuh agenda pembangunan bangsa, agama dan negara melalui pendekatan yang lebih menyeluruh.

Setiausaha Majlis Ulama UMNO Malaysia, Amran Arifin berkata, kesungguhan Presiden UMNO dalam merencana masa depan bangsa dan umat Islam dapat dilihat melalui agenda Malaysia Biru serta usaha yang sedang dibawa untuk kemajuan Malaysia 30 tahun yang akan datang.

Menurutnya, ketika landskap politik tanah air sering dibayangi polemik dan pertikaian antara parti, Presiden UMNO terus memberikan perhatian kepada agenda yang lebih besar, khususnya pembangunan bangsa serta pengukuhan kedudukan agama Islam.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Raudhatul Ummah anjuran UMNO Bahagian Tanah Merah, Kelantan, pada Jumaat, mewakili Pengerusi Majlis Ulama UMNO Malaysia, Datuk Dusuki Ahmad.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh peranan Majlis Ulama UMNO Malaysia dalam mendukung agenda tersebut, khususnya melalui penglibatan golongan agamawan dalam memberikan pandangan, bimbingan dan sumbangan terhadap pembangunan masyarakat.

“Peranan Majlis Ulama bukan sekadar tertumpu kepada persoalan agama, tetapi turut merangkumi usaha memperkukuh kefahaman Islam serta menyumbang pandangan dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa umat,” katanya.

Penganjuran Raudhatul Ummah oleh UMNO Bahagian Tanah Merah turut mencerminkan usaha di peringkat akar umbi dalam memperkukuh budaya ilmu, kefahaman agama dan kesatuan umat Islam, selari dengan aspirasi pembangunan bangsa serta agama yang diketengahkan melalui Agenda Malaysia Biru. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO