“Sakau, Sakau, Sakau!”… Potensi Aset RM180 Bilion Buat-buat Lupa?
KUALA LUMPUR, 13 Okt – Isu hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak seharusnya terus dilihat dari sudut liabiliti semata-mata, sebaliknya perlu dinilai secara menyeluruh dengan mengambil kira aset yang dibangunkan serta potensi pulangan ekonomi pada masa hadapan.
Ketua UMNO Bukit Bintang, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berkata, perbahasan mengenai 1MDB yang berlarutan selama bertahun-tahun dengan slogan “sakau, sakau, sakau” perlu digantikan dengan penilaian berasaskan fakta dan kedudukan kewangan yang menyeluruh.

Menurut beliau, jumlah obligasi 1MDB dilaporkan sebanyak RM51.4 bilion, dengan RM42.5 bilion telah dibayar. Daripada jumlah itu, RM15.44 bilion menggunakan dana kerajaan, manakala selebihnya merangkumi sumber lain termasuk hasil pemulihan aset, berdasarkan pecahan rasmi setakat Julai 2025 yang dirujuknya.
“Ya, hutang perlu dibayar dan kerugian perlu dipertanggungjawabkan. Tetapi jangan hanya mengungkit liabiliti, sedangkan aset, pelaburan dan potensi pulangannya tidak dibincangkan secara menyeluruh,” katanya.
Beliau turut merujuk angka setakat Jun 2026 yang menyatakan sebanyak RM31.3 bilion berjaya diperoleh semula, manakala baki obligasi yang dilaporkan berjumlah RM8.9 bilion, termasuk sukuk yang dijamin kerajaan.
Dalam masa sama, Tengku Azman berkata, potensi pembangunan projek seperti Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia juga wajar diberikan perhatian ketika menilai kesan ekonomi keseluruhan pelaburan berkaitan 1MDB.

Katanya, TRX mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM40 bilion, manakala Bandar Malaysia pernah diunjurkan mempunyai GDV sekitar RM140 bilion, menjadikan jumlah potensi GDV kedua-dua projek menghampiri RM180 bilion.
“Dalam perniagaan, modal dilaburkan untuk membina aset dan menjana pulangan. Takkan kita hanya mengira wang yang keluar, tetapi mengetepikan aset yang dibina dan potensi hasil masa depan?” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa nilai GDV tidak boleh disamakan dengan keuntungan bersih atau wang tunai yang telah diterima. Sebaliknya, nilai itu perlu dilihat sebagai potensi pembangunan yang perlu dinilai berdasarkan kemajuan projek, kos, pembiayaan dan pulangan sebenar.
Sehubungan itu, beliau berpandangan kerajaan perlu membentangkan maklumat secara telus mengenai kedudukan aset, jumlah pemulihan dana, baki tanggungan serta potensi hasil daripada projek berkaitan.
“Cukuplah menjadikan 1MDB modal politik yang tidak berkesudahan. Bentangkan akaun dengan telus, jelaskan kedudukan aset dan baki tanggungan, kemudian bergerak ke hadapan,” katanya.
Beliau menegaskan rakyat memerlukan fakta yang lengkap dan penyelesaian yang nyata, bukannya pengulangan slogan politik tanpa perbincangan menyeluruh mengenai kedudukan kewangan dan aset berkaitan 1MDB.
“Rakyat perlukan fakta yang lengkap dan penyelesaian yang nyata — bukan sekadar ‘sakau, sakau, sakau’ yang diulang-ulang. Move on, guys!” katanya lagi. – UMNO Online
