Naik Taraf Jalan: KKR Tunggu Pertimbangan Agensi Pusat – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Kementerian Kerja Raya mengambil maklum mengenai cadangan membina lorong memotong di Laluan Persekutuan FT136 yang dibangkitkan.

Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, berdasarkan data bancian lalulintas 2025, tahap perkhidmatan jalan di Laluan Persekutuan FT136 ini adalah LOS A (Stesen Banci KR706) yang masih mampu menampung jumlah trafik sedia ada.

“Semakan Kementerian ini mendapati tiada permohonan projek diterima daripada pihak Kerajaan Negeri Kedah di bawah Rolling Plan 2, Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RP2 RMK13) bagi membina lorong memotong di jajaran laluan tersebut seperti yang dibangkitkan.

“Kementerian Kerja Raya berdasarkan senarai keutamaan negeri telah mengangkat permohonan bagi projek berikut untuk pertimbangan dan kelulusan Agensi Pusat iaitu kerja awalan projek menaiktaraf jalan persekutuan, laluan FT136, Jalan Pekan Bandar Baharu – Kuala Ketil, Seksyen 47.40 – 37.70 dan Seksyen 53.50 – 64.50, Kulim, Kedah Darul Aman (Reka Bentuk Dan Pengambilan Tanah).

“Menggantikan jambatan FT136/037/12 di jalan persekutuan Kuala Ketil Bandar Baharu, Kulim dan menggantikan pembetung sedia ada kepada jambatan FT136/19/50, di jalan persekutuan Kuala Ketil Bandar Baharu, Kedah Darul Aman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan dari Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Roslan Hashim meminta Menteri Kerja Raya menyatakan bila Kementerian bercadang untuk membuat lorong memotong di FT136 dari Serdang hingga ke Kulim memandangkan hampir 70 peratus jalan mempunyai garisan berkembar.

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menjelaskan Kementerian akan meneliti cadangan projek ini apabila dimohon oleh Kerajaan Negeri berdasarkan senarai keutamaan negeri dan akan diberi pertimbangan yang sewajarnya untuk diangkat kepada Agensi Pusat.

“Keputusan mengenainya akan dimaklumkan apabila Kementerian ini mendapat senarai akhir kelulusan projek RP2 RMK13 daripada Kementerian Ekonomi,” katanya lagi.- UMNO Online

 

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO