Perancangan Johor Bahru Utamakan Kesejahteraan Rakyat

JOHOR BAHRU, 13 Okt – Sebanyak 473 bantahan awam terhadap Draf Rancangan Tempatan Johor Bahru 2035 diterima sepanjang tempoh publisiti dan penyertaan awam dari 23 Oktober hingga 5 Disember 2025, mencerminkan keprihatinan penduduk terhadap hala tuju pembangunan kawasan masing-masing.

Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, setiap bantahan dan representasi perlu diteliti secara adil, dengan mengambil kira keperluan sebenar rakyat, kesesuaian pembangunan serta kesannya terhadap kehidupan harian masyarakat.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Sesi 3 bagi meneliti bantahan dan representasi draf rancangan berkenaan, yang diurussetiakan bersama oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan PLANMalaysia Johor.

“Setiap pandangan yang dikemukakan membawa harapan dan kepentingan rakyat yang perlu difahami. Ada yang menyentuh kediaman keluarga, kelangsungan perniagaan, kemudahan kejiranan serta keselesaan kehidupan seharian. Sebab itu, setiap perkara perlu diteliti dengan cermat dan mengambil kira keadaan sebenar penduduk,” katanya.

Menurut beliau, sesi pendengaran melalui Jawatankuasa Siasatan Tempatan dan Pendengaran (JSTP) merupakan platform penting untuk penduduk menjelaskan bantahan, selain membolehkan pihak berkuasa tempatan memberikan ulasan sebelum sebarang pengesyoran dimuktamadkan.

Antara isu yang diberi perhatian ialah cadangan perubahan zon guna tanah di Jalan Abiad, Taman Tebrau Jaya dan Jalan Datin Halimah, termasuk keserasian pembangunan dengan kawasan perumahan serta kesannya terhadap aliran trafik.

Turut diteliti ialah pandangan penduduk Residensi PR1MA Tebrau berkaitan status guna tanah, kemudahan awam, pengangkutan awam dan infrastruktur jalan, selain kapasiti jalan serta akses ke sekolah di Jalan Sungai Tiram.

Cadangan pembangunan di Taman Teluk Tropicana, kawasan sekitar Empangan Sultan Iskandar dan Taman Johor Jaya turut dinilai berdasarkan kesesuaian tapak, keserasian guna tanah, keperluan jarak penampan serta keselamatan dan keselesaan penduduk.

Perkara berkaitan tanah lapang dan kawasan rekreasi juga menjadi perhatian kerana ruang sedemikian penting untuk aktiviti keluarga, permainan kanak-kanak dan interaksi komuniti.

“Pembangunan bukan sekadar mengubah guna tanah, tetapi mesti memastikan rakyat dapat menikmati persekitaran yang selamat, kemudahan yang mencukupi dan kualiti hidup yang lebih baik. Pertumbuhan ekonomi juga perlu berjalan seiring dengan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa proses penelitian dilaksanakan berlandaskan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172). Dapatan sesi pendengaran akan dirumuskan dalam laporan yang mengandungi cadangan dan syor kepada pihak berkuasa tempatan sebelum draf rancangan tempatan dikemukakan untuk pertimbangan
Jawatankuasa Perancang Negeri.

Sesi ketiga itu merupakan sebahagian daripada empat sesi pendengaran yang dijadualkan bagi memastikan setiap bantahan dinilai secara teratur, berasaskan pertimbangan teknikal dan kepentingan awam.

Beliau turut menegaskan komitmen untuk memastikan perancangan Johor Bahru selari dengan agenda Maju Johor di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dengan memberi keutamaan kepada pembangunan yang mampan dan kesejahteraan rakyat.

“Johor Bahru yang kita rancang hari ini ialah tempat anak-anak kita membesar pada masa hadapan. Justeru, setiap keputusan mesti dibuat dengan penuh tanggungjawab, supaya kemajuan bandar benar-benar membawa manfaat kepada rakyat,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO