Malaysia Perkukuh Kerjasama Dengan China Perangi Penipuan Siber

BEIJING, 13 Okt – Malaysia berhasrat untuk terus memperkukuh kerjasama dengan China bagi memerangi penipuan siber, memperkasakan siasatan rentas sempadan serta mendapatkan semula aset yang dicuri melalui aktiviti haram itu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata hasrat itu adalah selaras dengan usaha kedua-dua negara menangani jenayah rentas negara.

Beliau berkata kerjasama dua hala yang lebih erat akan memberikan impak praktikal kepada perkongsian strategik komprehensif antara kedua-dua negara, khususnya dalam aspek keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang.

“Untuk penipuan siber, kita menghadapi beberapa kekangan kerana ia bukan hanya melibatkan rakyat China yang menjadi mangsa, ia juga menimbulkan pelbagai cabaran.

“Sebab itu saya percaya kerjasama dua hala antara kedua-dua negara kita cukup penting dalam menangani masalah ini,” katanya pada sidang media bersama media Malaysia di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berada di China untuk lawatan kerja lima hari meliputi Beijing dan Tianjin, bermula semalam,

Timbalan Perdana Menteri berkata Malaysia dan China juga sedang memperkukuh perkongsian perisikan serta menyelaraskan siasatan dan operasi penguatkuasaan undang- undang bagi menangani jenayah rentas sempadan.

Beliau berkata kedua-dua negara telah menubuhkan jawatankuasa keselamatan bersama yang turut memberi tumpuan kepada kerjasama membanteras penyeludupan narkotik

“Selain perkongsian perisikan dan penguatkuasaan, kami juga menggunakan kaedah baharu untuk mendapatkan maklumat awal mengenai operasi penyeludupan dadah serta kewujudan kemudahan memproses bahan menjadi dadah.

“Usaha ini sedang dilaksanakan dan akan diperkukuh lagi,” katanya bahawa kerjasama antara pasukan polis Malaysia dan Suruhanjaya Kawalan Narkotik Kebangsaan China adalah sangat erat.

Ahmad Zahid berkata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah mengadakan beberapa perbincangan dengan rakan sejawatannya dari China mengenal perkara itu.

Beliau berkata Kerajaan Malaysia melalui Jawatankuasa Pencegahan Dadah yang pengerusikannya percaya usaha tersebut perlu dilaksanakan merentas sempadan dan kedua-dua pihak telah mencapai kemajuan yang baik dalam aspek itu.

Mengulas lanjut mengenai isu penipuan siber, Ahmad Zahid berkata Malaysia menyertai program bersama di bawah Pakatan Antarabangsa bagi Membanteras Penipuan Telekomunikasi dan Siber pada 10 Sept lepas, dengan siasatan rentas sempadan serta pemulihan aset yang dicuri dikenal pasti sebagai keutamaan.

“Dalam usaha memperkukuh rangka kerja perundangan bagi menangani jenayah siber, saya sendiri membentangkan Rang Undang-Undang Jenayah Siber di Dewan Rakyat semasa persidangan Parlimen pada Julai lepas,” katanya. – BERNAMA

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO