Kota Tinggi Terus Dibangunkan, 18 Projek Setempat Diluluskan

KOTA TINGGI. 12 Okt – Kerajaan Negeri Johor meluluskan peruntukan keseluruhan RM1.33 juta bagi melaksanakan 18 projek pembangunan setempat di daerah Kota Tinggi, merangkumi penambahbaikan kemudahan awam, pembaikan jalan dan jambatan serta pemasangan lampu solar.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pembangunan daerah itu turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh potensi ekonomi menerusi Pelan Transformasi Ekonomi Negeri Johor (JETP) Daerah Kota Tinggi.

Menerusi pelan berkenaan, Kota Tinggi diberi tumpuan sebagai hab kimia hijau, pertanian dan pelancongan berdasarkan kekuatan serta kelebihan sedia ada daerah itu.

“Pembangunan yang dirancang bertujuan untuk menarik lebih banyak pelaburan, merancakkan aktiviti ekonomi, sekaligus membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan masyarakat setempat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Onn Hafiz bersama barisan kepimpinan Negeri Johor meneruskan lawatan kerja ke Kota Tinggi bagi meneliti pembangunan daerah menerusi pembentangan JETP berkenaan.

Selain projek kemudahan awam dan komuniti, peruntukan itu turut meliputi penyelenggaraan longkang serta sungai bagi meningkatkan keselesaan dan kesejahteraan masyarakat setempat.

Dalam lawatan sama, beliau turut bertemu dan beramah mesra dengan penduduk menerusi Majlis Jalinan Rakyat.

“Terima kasih atas sambutan dan sokongan yang diberikan. Semangat kebersamaan dan hubungan erat antara rakyat dengan kepimpinan inilah yang menjadi kekuatan Bangsa Johor,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri komited memastikan pembangunan Kota Tinggi terus diperkasa demi kesejahteraan rakyat.

“Semoga segala perancangan yang diusahakan dipermudahkan, membawa limpahan manfaat kepada masyarakat setempat dan menjadikan Kota Tinggi sebuah daerah yang terus maju serta makmur,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO