PH Ubah Naratif Politik Mengikut Keadaan

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii mempersoalkan konsistensi Pakatan Harapan (PH) dalam menggunakan naratif politik prestasi, politik identiti dan tuduhan “sakau” ketika berhadapan dengan lawan politik di negeri berbeza.

Beliau berkata, PH mengetengahkan naratif politik prestasi di Negeri Sembilan dengan menggambarkan lawannya sebagai pengamal politik perkauman, namun pendekatan itu perlu dinilai secara konsisten apabila membabitkan pentadbiran Barisan Nasional (BN) di negeri lain seperti Melaka dan Johor.

“Prestasi tidak boleh menjadi ukuran hanya apabila PH mendapat kelebihan. Tuduhan pula tidak boleh menggantikan penilaian apabila lawan menunjukkan pencapaian,” katanya.

Menurut beliau, jika prestasi dijadikan kayu ukur, pentadbiran BN juga perlu dinilai secara adil dan tidak diketepikan hanya kerana pencapaiannya tidak menguntungkan naratif PH.

“Jangan menukar kayu ukur setiap kali lawan menunjukkan kelebihan. Jangan pula menjadikan kuasa sebagai alat membalas dendam,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal terbabit.

Razlan turut mempersoalkan penggunaan istilah berbeza ketika berhadapan dengan lawan politik, termasuk apabila isu prestasi pentadbiran digantikan dengan tuduhan “sakau”.

Beliau menyifatkan perubahan naratif mengikut keadaan sebagai politik yang terlalu bergantung pada keperluan semasa, dengan rakyat akhirnya menilai perbezaan antara retorik politik dan kehidupan harian mereka.

Katanya, rakyat lebih memberi perhatian kepada isu seperti harga barang, peluang pekerjaan, pendapatan keluarga dan mutu perkhidmatan.

“Rakyat akhirnya menilai jarak antara kata-kata di pentas ceramah dengan kehidupan yang mereka lalui. Mereka menilai harga barang, peluang pekerjaan, pendapatan keluarga dan mutu perkhidmatan,” katanya.

Razlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh turut membangkitkan kebimbangan mengenai politik dendam yang menurutnya boleh menjadikan pengkritik sebagai musuh, teguran sebagai ancaman dan perbezaan pandangan sebagai alasan untuk memberikan tekanan.

Beliau berkata, keadaan itu lebih membimbangkan sekiranya budaya berkenaan meresap ke dalam institusi penguatkuasaan, yang sepatutnya menjalankan tanggungjawab berdasarkan undang-undang dan bukti.

“Penguatkuasaan mesti berasaskan undang-undang dan bukti. Sebarang dakwaan bahawa institusi digunakan untuk menzalimi musuh politik perlu dijawab secara telus dan disiasat secara bebas,” katanya.

Razlan berkata, kerajaan yang membiarkan dendam menentukan tindakan berisiko menghakis keyakinan rakyat, sedangkan amanah sebenar pentadbiran adalah menyelesaikan masalah negara.

Beliau turut menegaskan bahawa rakyat mampu membandingkan janji dengan tindakan, slogan dengan pencapaian serta dakwaan dengan bukti.

“Kalau benar mahu politik prestasi, gunakan ukuran yang sama terhadap semua. Kalau benar mahu melawan ‘sakau’, kemukakan bukti dan biarkan undang-undang berjalan secara adil.

“Rakyat memberikan mandat untuk mentadbir, bukan lesen untuk menekan dan menghukum musuh politik,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO