Jerebu: Sekolah Ditutup, Majikan Digesa Benar WFH -Azleen Ambros
KUALA LUMPUR, 11 Okt – Pemuda UMNO Johor menyarankan majikan supaya membenarkan ibu bapa yang terkesan akibat penutupan sekolah berikutan keadaan jerebu melaksanakan kerja dari rumah (WFH) atau waktu kerja fleksibel bagi meringankan beban mereka.
Ketuanya, Noor Azleen Ambros berkata, keputusan menutup sekolah demi melindungi kesihatan dan keselamatan murid perlu disokong sepenuhnya, namun pada masa sama mengambil kira kesukaran yang terpaksa dihadapi ibu bapa bekerja.
Menurutnya, penutupan sekolah menyebabkan ramai ibu bapa berdepan dilema apabila mereka perlu hadir ke tempat kerja, sedangkan anak-anak terpaksa ditinggalkan di rumah tanpa pengawasan sewajarnya.
“Ramai ibu bapa berada dalam dilema. Mereka diwajibkan hadir ke tempat kerja, sedangkan anak-anak terpaksa ditinggalkan di rumah tanpa pengawasan. Pada masa yang sama, perjalanan harian dalam keadaan jerebu turut mendedahkan mereka kepada risiko kesihatan.
“Kami yakin pendekatan ini bukan sahaja meringankan beban ibu bapa, malah dapat mengekalkan produktiviti dan meningkatkan semangat pekerja. Majikan yang prihatin akan memperoleh kesetiaan dan komitmen yang lebih tinggi daripada pekerjanya,” ujar beliau.
“Pemuda UMNO Johor yakin, dengan kerjasama semua pihak, rakyat Johor mampu mengharungi cabaran jerebu ini dengan selamat dan sejahtera,” katanya menerusi satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Azleen yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang menjelaskan, pengalaman semasa pandemik COVID-19 telah membuktikan bahawa banyak sektor mampu terus produktif melalui kerja dari rumah.
Justeru, katanya, pendekatan yang sama wajar dilaksanakan secara sementara bagi membantu keluarga menghadapi situasi ini.
“Pemuda UMNO Johor menyarankan agar majikan membenarkan ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah bekerja dari rumah sepanjang tempoh penutupan sekolah, bagi jawatan yang bersesuaian.
“Bagi pekerja yang tidak dapat bekerja dari rumah, majikan disarankan menawarkan waktu kerja yang fleksibel,” ujarnya.
Terdahulu, Pada 7 Oktober lalu, Johor mengumumkan penutupan sekolah selama dua hari bermula keesokan hari susulan keadaan jerebu serta kemerosotan kualiti udara.
Semua sekolah dan institusi pendidikan di Johor ditutup selama lima hari lagi kerana jerebu dan kemerosotan kualiti udara, bermula 12 Okt hingga 16 Okt.
Penutupan itu dibuat atas titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail sebagai langkah melindungi keselamatan dan kesihatan murid. – UMNO Online
