Pelaksanaan Belanjawan Perlu Beri Manfaat Nyata – Syauqi
KUALA LUMPUR, 12 Okt – Belanjawan 2027 yang memperuntukkan RM459.8 bilion perlu dinilai berdasarkan keberkesanan pelaksanaannya dalam meningkatkan taraf hidup rakyat, khususnya golongan anak muda, bukan sekadar melihat kepada jumlah peruntukan yang diumumkan.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Mohd Syauqi Ibnihajar Ahmad berkata, beberapa inisiatif yang diumumkan meliputi aspek pekerjaan, keusahawanan, pemilikan rumah, pendidikan dan perlindungan sosial yang mempunyai kaitan langsung dengan masa depan generasi muda.
Menurutnya, kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 mulai Jun 2027 serta penetapan gaji lantai RM2,500 bagi graduan dan pekerja separa mahir perlu disusuli pemantauan bagi memastikan pelaksanaannya tidak menimbulkan tekanan kos tambahan kepada pengguna dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Beliau berkata, kerajaan juga perlu memastikan peningkatan kos operasi yang ditanggung majikan tidak dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
“Kerajaan perlu memantau harga, membanteras kartel serta membantu PMKS yang benar-benar terkesan. Pelaksanaan juga mesti mengambil kira produktiviti dan kemampuan majikan,” katanya.
Dalam aspek keusahawanan, beliau melihat peruntukan RM1.3 bilion kepada TEKUN, RM1.7 bilion kepada BSN serta RM200 juta bagi Geran Sejahtera MADANI sebagai antara kemudahan yang boleh dimanfaatkan usahawan muda untuk mengembangkan perniagaan.
Katanya, kemudahan pembiayaan perniagaan dan jaminan berjumlah RM57 bilion turut perlu disertai proses permohonan yang mudah, telus dan tidak membebankan golongan yang ingin memulakan perniagaan.
Dalam masa sama, agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera perlu diterjemahkan melalui peluang perniagaan yang benar-benar dapat diakses usahawan, termasuk kontraktor G1 hingga G4 yang disasarkan memperoleh perolehan RM7.5 bilion.
Mohd Syauqi turut menekankan isu pemilikan rumah pertama yang terus menjadi antara cabaran utama anak muda, terutama golongan yang baru memasuki alam pekerjaan.
Menurutnya, jaminan RM20 bilion melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bagi membantu 80,000 individu, selain pengecualian duti setem bagi rumah pertama bernilai sehingga RM500,000, perlu disertai usaha memastikan harga rumah bersesuaian dengan kemampuan pembeli.
“Kerajaan kena pastikan rumah mampu milik mesti benar-benar mampu dibeli, bukan sekadar mampu diumumkan,” katanya.
Beliau turut menyambut perhatian yang diberikan kepada golongan berpendapatan sederhana melalui peningkatan pelepasan cukai asas daripada RM9,000 kepada RM12,000 serta pengurangan kadar cukai satu mata peratusan bagi pendapatan antara RM70,000 hingga RM150,000, seperti yang dinyatakan dalam pengumuman belanjawan berkenaan.
Bagi golongan yang memerlukan, peruntukan RM16 bilion untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) juga perlu memastikan bantuan sampai kepada penerima yang layak.
Dalam sektor pekerjaan gig, pakej RM160 juta, insentif caruman padanan PERKESO dan KWSP serta kemudahan pembiayaan RM270 juta melalui BSN dan Agrobank dilihat berkait rapat dengan usaha memperkukuh perlindungan sosial dan kelangsungan pendapatan pekerja.
Sementara itu, bantuan awal persekolahan sebanyak RM200 bagi setiap murid serta penambahbaikan kemudahan bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) turut menjadi antara perkara yang diberi perhatian, khususnya dalam membantu keluarga dan graduan mengurus komitmen kewangan.
Beliau turut menegaskan kepentingan pembangunan luar bandar menerusi peruntukan RM2.3 bilion untuk jalan desa, RM3.3 bilion bagi prasarana asas desa serta pelaburan RM5 bilion melalui JENDELA bagi memperkukuh infrastruktur digital.
Menurutnya, kemudahan jalan raya, capaian Internet dan prasarana asas yang baik penting untuk membuka peluang pekerjaan, pendidikan serta perniagaan kepada anak muda di luar bandar.
Sehubungan itu, Mohd Syauqi menegaskan tiga perkara utama perlu diberi perhatian selepas pembentangan Belanjawan 2027, iaitu pelaksanaan yang telus, pemerkasaan ekonomi Bumiputera yang berkesan serta usaha menyediakan masa depan lebih terjamin kepada generasi muda.
Katanya, anak muda memerlukan pekerjaan berkualiti, gaji setimpal, rumah mampu milik dan peluang membina kekayaan sendiri bagi memastikan mereka mampu berdikari serta merancang masa depan dengan lebih baik.
“Belanjawan boleh nampak cantik di atas kertas. Tetapi ukuran sebenar ialah keadaan rakyat selepas pelaksanaannya.
“Kita tidak perlukan sekadar angka besar dan slogan yang indah. Kita perlukan hasil yang nyata untuk masa depan ekonomi anak muda,” katanya.- UMNO Online
