Alhamdulillah…Perjuangan Perumahan Rakyat Membuahkan Hasil – Rais

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Pengumuman projek Program Residensi Rakyat (PRR) di Taman Paya Emas, Paya Rumput menerusi Belanjawan 2027 disifatkan sebagai perkembangan positif yang memberi harapan kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) untuk memiliki kediaman sendiri.

Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin berkata, cadangan pembangunan perumahan itu telah dibawa lebih awal ketika beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat, sebagai sebahagian daripada manifesto dan perancangan bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.

Menurutnya, pengumuman Paya Rumput sebagai salah satu daripada empat lokasi projek perumahan baharu di bawah PRR membuktikan kepentingan perancangan berterusan dalam memastikan keperluan rakyat mendapat perhatian.

“Alhamdulillah, berita gembira buat seluruh warga Paya Rumput apabila projek Program Residensi Rakyat (PRR) di Taman Paya Emas diumumkan menerusi Belanjawan 2027.

“Sebenarnya, usaha ini telah saya bawa lebih awal sebagai sebahagian daripada manifesto dan perancangan saya demi kesejahteraan rakyat Paya Rumput, khususnya dalam membantu golongan B40 mendapatkan kediaman yang lebih selesa dan mampu dimiliki,” katanya.

Rais berkata, usaha memperjuangkan keperluan rakyat tidak seharusnya terhenti pada peringkat cadangan, sebaliknya perlu diteruskan agar perancangan yang dibuat dapat direalisasikan dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Katanya, penyediaan rumah mampu milik amat penting dalam membantu keluarga yang berdepan kekangan kewangan, selain memberi peluang kepada mereka menikmati kediaman yang lebih selesa dan terjamin.

Beliau berharap projek PRR di Taman Paya Emas dapat dilaksanakan dengan lancar serta menyediakan peluang kepada rakyat yang benar-benar layak untuk memiliki rumah sendiri.

“Bagi saya, inilah makna sebuah perjuangan demi rakyat. Bukan sekadar berjanji, tetapi terus berusaha supaya hasrat dan keperluan rakyat dapat direalisasikan.

“Semoga projek ini menjadi sinar harapan buat lebih ramai keluarga di Paya Rumput untuk memiliki kediaman sendiri. Insya-Allah, kesejahteraan rakyat akan sentiasa menjadi keutamaan kita,” katanya.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO