Kalau Nak Siasat KKDW, Silakan … Guna Kayu Ukur Sama
KUALA LUMPUR, 7 Okt – Barisan Nasional (BN) Selangor menegaskan sebarang dakwaan atau persoalan berkaitan peruntukan dan perbelanjaan kerajaan perlu dinilai berdasarkan bukti serta menggunakan kayu ukur yang sama kepada semua pihak, bukan secara terpilih.
Pengarah Komunikasi BN Selangor, Datuk Dr. Armand Azha Abu Hanifah berkata, pihaknya mengambil maklum dakwaan dan persoalan beberapa pemimpin Dap termasuk Lim Guan Eng berhubung angka RM2.1 bilion yang dikaitkan dengan peruntukan dan perbelanjaan projek Jalan Luar Bandar di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Menurut beliau, jika terdapat aduan serta asas untuk siasatan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipersilakan menjalankan siasatan dan pihaknya menghormati proses undang-undang.

“Namun, kita tidak boleh menghukum mana-mana kementerian, pegawai Kerajaan atau pihak yang terlibat hanya berdasarkan perbandingan angka tanpa memahami keseluruhan struktur peruntukan dan perbelanjaan Kerajaan.
“Dalam pengurusan kewangan Kerajaan, peruntukan asal bukan semestinya peruntukan akhir,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata sepanjang tahun kewangan, peruntukan boleh melalui pindahan, tambahan, penyusunan semula, pelarasan serta perubahan komitmen projek yang semuanya tertakluk kepada kelulusan dan tatacara kewangan kerajaan.
Katanya, apa yang perlu diperiksa ialah keseluruhan dokumen termasuk peruntukan asal, pindaan peruntukan, kelulusan pindahan, komitmen kontrak, proses perolehan, arahan pembayaran, dokumen sokongan, tarikh kelulusan serta pematuhan tatacara kewangan.
“Jika ada kesalahan, ambil tindakan. Jika ada penyelewengan, dakwa. Jika bersalah, hukum.
“Tetapi jika semua prosedur dipatuhi, jangan gunakan angka secara terpilih untuk membina persepsi politik,” katanya.
Dalam pada itu, Armand Azha menegaskan prinsip akauntabiliti perlu dilaksanakan kepada semua kementerian dan agensi tanpa mengira parti atau individu.
Beliau turut membangkitkan persoalan berkaitan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, projek asrama pekerja asing bernilai RM11.6 juta, ZETRIX AI/MYEG serta KWAP yang menurutnya wajar diperiksa atau diberikan penjelasan berdasarkan bukti, dokumen dan proses sewajarnya jika terdapat persoalan.
“Kita tidak berminat untuk melemparkan label seperti ‘mafia korporat’ kepada mana-mana individu atau syarikat tanpa bukti.
“Sekiranya terdapat dakwaan mengenai jaringan politik-korporat, pemilikan silang, kontrak Kerajaan atau individu yang mempunyai kepentingan berulang dalam pelbagai projek dan syarikat, perkara itu wajar diperiksa berdasarkan dokumen, rekod korporat, kontrak, aliran pembayaran dan bukti,” katanya.
Beliau pada masa sama berkata perbahasan mengenai kewangan negara tidak seharusnya hanya tertumpu kepada satu kementerian, sebaliknya rakyat juga berhak mendapat penjelasan mengenai pengurusan hutang negara.
Katanya, Kementerian Kewangan melaporkan hutang sektor awam Malaysia sekitar RM1.758 trilion pada akhir 2025, manakala hutang Kerajaan Persekutuan sekitar RM1.321 trilion.
“Jika setiap ringgit KKDW dipersoalkan, maka setiap ringgit dalam pengurusan kewangan negara juga mesti boleh dijelaskan.
“Kalau KKDW perlu disiasat, siasat. Kalau KPKT ada persoalan, siasat. Kalau MOT ada persoalan, siasat. Kalau KWAP ada persoalan, siasat.
“Kalau MYEG/Zetrix ada persoalan, siasat. Kalau projek terowong Pulau Pinang ada persoalan, siasat. Dan kalau pengurusan hutang negara menjadi persoalan rakyat, jelaskan kepada rakyat,” katanya.
Tegas beliau, BN tidak menolak siasatan, audit atau ketelusan, namun menolak amalan standard berganda dalam soal akauntabiliti dan tadbir urus.
“Accountability cannot be selective. Satu kayu ukur, satu standard, semua kementerian, semua agensi, semua pihak.
“Kalau benar mahu memperkukuhkan integriti pentadbiran negara, maka ketelusan, akauntabiliti dan penguatkuasaan mesti dilaksanakan secara konsisten tanpa mengira parti, kementerian atau individu.
“Itulah prinsip tadbir urus yang sebenar,” katanya. – UMNO Online
