Bentuk Akhlak Anak Tanggungjawab Bersama – Hasrunizah Hassan
KUALA LUMPUR, 6 Okt – Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Hasrunizah Hassan berkata, usaha melindungi kanak-kanak daripada kekerasan perlu berjalan seiring dengan pendidikan mengenai hormat, empati, disiplin serta batas antara perkara yang betul dan salah.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang berkata, ibu bapa perlu memainkan peranan utama dalam membentuk asas akhlak dan nilai murni anak-anak sejak dari rumah.
“Kita mahu anak-anak kita dilindungi dan mahu mereka dihormati. Kita tidak mahu kekerasan berlaku kepada mereka tetapi dalam masa yang sama, perlu bertanya kepada diri sendiri siapa sebenarnya yang mendidik mereka tentang hormat, empati, disiplin dan batas antara betul dan salah.
“Guru mempunyai tanggungjawab mendidik di sekolah, tetapi asas akhlak dan nilai murni bermula dari rumah. Jangan kita marah apabila guru cuba mendisiplinkan anak, tetapi pada masa yang sama menyerahkan hampir seluruh tanggungjawab membentuk peribadi mereka kepada guru. Mendidik bukan tugas satu pihak tetapi membentuk manusia adalah tanggungjawab bersama.
“Kita mungkin berbeza pandangan tentang cara mendidik, termasuk soal hukuman dan disiplin. Tetapi jangan sampai perbezaan itu membuatkan kita lupa perkara paling penting iaitu anak-anak kita sedang belajar daripada kita tentang bagaimana menghormati manusia, bagaimana mengawal emosi dan bagaimana memperlakukan orang lain,” katanya.
Hasrunizah yang juga Exco Wanita UMNO menjelaskan apa yang berlaku kepada Irene Sofiya seharusnya membuat semua berhenti seketika dan bermuhasabah.
“Kita tidak boleh mengubah apa yang telah berlaku. Tetapi kita masih boleh mengubah cara kita mendidik generasi selepas ini.Kerana membina masyarakat yang berakhlak bukan kerja kerajaan semata-mata.
“Bukan kerja guru semata-mata, bukan kerja ibu bapa semata-mata.ia tanggungjawab kita bersama dan perubahan itu bermula daripada rumah kita sendiri.
Terdahulu, Hasrunizah mengiringi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menziarahi keluarga Allahyarhamah Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal di Yong Peng.
Pembunuhan tragis pelajar perempuan sekolah menengah di Yong Peng, bukan sahaja mengejutkan ahli keluarga, malah meragut impian murni mangsa yang bercita-cita mengikut jejak langkah arwah ibunya sebagai doktor. – UMNO Online
