Krisis Negeri Sembilan Perlu Diselesaikan Berlandaskan Muafakat Adat Perpatih
KUALA LUMPUR, 7 Okt – Krisis yang berlaku di Negeri Sembilan perlu diselesaikan berlandaskan prinsip muafakat dan saluran Adat Perpatih bagi memastikan sebarang keputusan dibuat secara tertib serta mengambil kira peranan institusi adat negeri.
Besar Waris Suku Seri Lemak Minangkabau, Luak Ulu Muar, Datuk Paduka Menti (DR) Kamaruzaman Husin berkata, Adat Perpatih tidak berasaskan kuasa mutlak mana-mana individu, sebaliknya mengutamakan perbincangan dan keputusan secara muafakat.

“Dalam Adat Perpatih ini tiada sesiapa pun yang berkuasa walaupun Yang di-Pertuan Besar. Pada pandangan saya, sistem ini tiada seorang pun yang berkuasa . Semua atas perbincangan sebulat suara.
“Kalau semua memahami dan mengamalkan muafakat ini, hidup akan aman serta negeri juga makmur,” katanya kepada UMNO Online.
Ujarnya, institusi Adat Perpatih bergerak dari peringkat bawah ke atas, selaras dengan pepatah petitih Negeri Sembilan, ‘berjinjang naik, bertangga turun’.
Tambahnya, prinsip berkenaan turut menggambarkan bahawa setiap kedudukan dalam struktur adat mempunyai saluran dan proses tersendiri, termasuk dalam perkara berkaitan Undang dan Lembaga.
“Apabila kita berada di atas, kita akan turun semula ke tangga yang sama. Apabila matinya seorang Raja, Undang ataupun Lembaga, semua daripada kalangan ‘perut’ (keluarga) itu kena turun. Jadi, ‘perut’ yang baharu naik.
“Apabila dah jadi Undang, kena ‘pijak’ tangga yang pertama juga. Tangga pertama Yang di-Pertuan adalah Undang kerana Undang yang memilih,” katanya.
Kamaruzaman turut berpandangan bahawa sebarang permasalahan berkaitan institusi adat wajar diselesaikan terlebih dahulu mengikut saluran di luak masing-masing sebelum dibawa ke peringkat lebih tinggi.
“Saya telah mencadangkan supaya setiap Undang mempunyai balai keadilan yang dilengkapi peguam dan ‘tiang balai’ untuk mengendalikan permasalahan sebelum sesuatu perkara dibawa kepada Dewan Keadilan Undang (DKU).
“Selesaikan dahulu di luak masing-masing. Sehingga dapat cop semua Lembaga, barulah surat itu boleh dibawa ke DKU. Tiang-tiang balai inilah yang akan mengadili Undang masing-masing,” katanya lagi.
Mengulas isu yang berlaku di Luak Sungai Ujong, beliau mendakwa terdapat keputusan yang dibuat tanpa rundingan menyeluruh, sedangkan institusi adat menekankan kepentingan perbincangan dan bermuafakat.

“Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) telah menyatakan bahawa raja bermaksud enam orang. Berundinglah, jangan buat keputusan sendiri,” katanya lagi.
Di samping itu, beliau turut menegaskan bahawa perkara berkaitan Undang Yang Empat perlu dilihat berdasarkan peruntukan dalam UUTKNS termasuk perkara berkaitan tandatangan, pingat dan pelantikan.
Dalam pada masa yang sama, beliau menyifatkan Undang Yang Empat sebagai institusi penting dalam mempertahankan kedudukan adat Melayu di Negeri Sembilan, sambil menyeru semua pihak supaya menghormati saluran dan tatacara yang ditetapkan dalam Adat Perpatih.
“UMNO ini bukan penderhaka, saya bersama mereka sebab Melayu. Bukan sebab parti. Saya di sebelah 14 orang itu.
“Undang Yang Empat ini adalah benteng terakhir ketuanan Melayu di Malaysia yang perlu dipertahankan,” katanya lagi.
Krisis adat di Negeri Sembilan secara rasminya telah tercetus pada 17 April 2026 apabila DKU yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, mengadakan sidang khas dan mengesahkan pemberhentian Datuk Mubarak Dohak sebagai Undang Luak Sungai Ujong atas 33 alasan pelanggaran adat.
Krisis tersebut berlarutan apabila bekas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun bertindak untuk tidak menandatangani proklamasi penurunan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir atas arahan Undang Yang Empat.
Keingkaran tersebut telah menyebabkan Undang Yang Empat bersabda menyatakan Aminuddin tidak lagi layak memegang jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan sehingga tercetusnya pembubaran Dewan Undangan Negeri dan Pilihan Raya Negeri. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
