Onn Hafiz Ziarah Keluarga Allahyarhamah Irene Sofiya, Seru Elak Spekulasi

JOHOR BAHRU, 6 Okt – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menzahirkan rasa dukacita susulan pemergian Allahyarhamah Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal dalam kejadian di Yong Peng beberapa hari lalu.

Beliau berkata, pemergian Allahyarhamah yang masih muda amat menyayat hati dan meninggalkan kesan mendalam khususnya kepada keluarga yang kehilangan insan tersayang.

“Saya berkesempatan menziarahi keluarga Allahyarhamah, termasuk ayah, datuk dan neneknya. Sayu melihat sebuah keluarga yang sedang berdepan kehilangan sebesar ini. Tiada kata yang benar-benar mampu menggambarkan beratnya kesedihan yang sedang mereka lalui,” katanya.

Menurut Onn Hafiz, sebagai seorang bapa, beliau turut tersentuh dengan kejadian yang berlaku.

“Sekolah sepatutnya menjadi tempat yang selamat untuk anak-anak kita menuntut ilmu, membesar dan mengejar cita-cita. Kejadian seperti ini sudah tentu memberi kesan bukan sahaja kepada keluarga Allahyarhamah tetapi juga kepada warga sekolah dan masyarakat keseluruhannya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri tidak mahu mendahului siasatan yang sedang dijalankan dan memberi ruang sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh.

Katanya, Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkaitan bagi melihat perkara yang boleh diperbaiki dan diperkukuhkan, khususnya dalam aspek keselamatan serta kesejahteraan anak-anak di sekolah.

Onn Hafiz turut menyeru semua pihak supaya menjaga sensitiviti keluarga dan mengelakkan sebarang spekulasi atau penyebaran maklumat yang belum disahkan.
“Di sebalik setiap berita yang kita baca dan kongsi, ada sebuah keluarga yang sedang melalui saat yang amat sukar,” katanya.

Beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarhamah Irene Sofiya.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah, menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman serta mengurniakan kekuatan dan ketabahan kepada seluruh ahli keluarga dalam menghadapi kehilangan ini. Al-Fatihah,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO