TVET Laluan Penting Bina Masa Depan Belia Berkemahiran

BANGI, 3 Okt – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan laluan kerjaya penting kepada negara dalam melahirkan tenaga mahir yang mampu menyokong perubahan teknologi serta pertumbuhan industri.

Ahli Parlimen Tenggara merangkap Pengerusi RISDA dan Ahli Majlis TVET Negara, Manndzri Nasib berkata, kemahiran yang dimiliki golongan belia perlu diterjemahkan kepada pekerjaan, pendapatan, produktiviti serta peluang untuk membina kehidupan yang lebih baik.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Konvokesyen BELIA MAHIR Ke-8/2026 di sini baru-baru ini.

“TVET ialah laluan kerjaya yang penting kepada negara. Malaysia memerlukan tenaga mahir yang mampu menyokong perubahan teknologi dan pertumbuhan industri. Kemahiran mesti diterjemahkan kepada pekerjaan, pendapatan, produktiviti dan peluang untuk membina kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Menurut beliau, setiap graduan mempunyai kisah tersendiri dan tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan keputusan peperiksaan atau kesukaran yang pernah dilalui.

Katanya, terdapat anak muda yang lebih cepat belajar apabila diberikan peluang memegang peralatan, mencuba sendiri dan melihat hasil kerja mereka, selain mendapat bimbingan yang tepat untuk membina semula keyakinan.

Dalam pada itu, Manndzri mengingatkan graduan supaya tidak berhenti belajar selepas menerima sijil memandangkan perubahan teknologi dan keperluan pekerjaan berlaku dengan pantas.

“Jangan berhenti belajar selepas menerima sijil. Kemahiran juga mempunyai ‘expired date’ apabila mesin, sistem dan keperluan pekerjaan berubah. Kecerdasan buatan, automasi, robotik, kenderaan elektrik dan digitalisasi sedang mengubah dunia kerja,” katanya.

Beliau turut menyeru graduan menjadikan pembelajaran sepanjang hayat, upskilling dan reskilling sebagai amalan, selain membina pengalaman, kompetensi, disiplin, integriti serta kemampuan menyelesaikan masalah.

Manndzri berkata, BELIA MAHIR yang bermula pada 2002 kini menghampiri 25 tahun perjalanan dalam memberi peluang kedua kepada belia serta membangunkan ekosistem yang menghubungkan mereka dengan latihan, pensijilan, industri, pekerjaan dan pembangunan kerjaya.

“Semangat ‘bantu belia, bantu negara,’ perlu terus menjadi pegangan,” katanya.

Beliau turut berharap BELIA MAHIR terus mendekati golongan belia yang tercicir atau belum menemukan hala tuju, khususnya mereka yang memerlukan sokongan untuk membina keyakinan sebelum dibawa kepada latihan dan pekerjaan.

Dalam usaha memperkukuh ekosistem TVET, beliau berkata kerjasama antara kerajaan, agensi, institusi, NGO dan industri perlu dipertingkatkan supaya latihan sentiasa seiring dengan keperluan pekerjaan.

Beliau turut menghargai peranan Jabatan Pembangunan Kemahiran dalam membuka laluan kepada belia tercicir melalui latihan dan pensijilan seperti Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM).

Selain itu, beliau menyatakan komitmen untuk menyuarakan keperluan peruntukan lebih besar kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) supaya lebih ramai belia dapat menerima manfaat pinjaman latihan kemahiran.

“Peluang membina kemahiran tidak seharusnya terhenti hanya kerana kekangan pembiayaan,” katanya.

Beliau turut menyambut baik usaha BELIA MAHIR membuka pendedahan antarabangsa kepada bakat TVET Malaysia termasuk kerjasama Malaysia-China dan usaha membangunkan laluan Dual Diploma Malaysia-China.

Pada majlis sama, beliau merasmikan Majlis Konvokesyen BELIA MAHIR Ke-8/2026 dan melancarkan Sambutan 25 Tahun BELIA MAHIR (2002–2027) dengan tema “Kisah Kita, Kejayaan Kita”. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO