Majlis Penerangan Perkukuh Rangkaian Komunikasi Hadapi Pilihan Raya
KUALA LUMPUR, 4 Okt – Majlis Penerangan UMNO bersama Penerangan Barisan Nasional (BN) dan Friends of BN menjadi inisiatif penting dalam memperkukuh hubungan serta rangkaian kerja penerangan sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.
Setiausaha Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Suraya Yaacob berkata, usaha tersebut penting bagi memastikan komunikasi dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun, bukan sahaja dalam kalangan jentera penerangan tetapi juga antara parti dengan rakyat.

Beliau berkata, sistem komunikasi yang baik diperlukan bagi memudahkan penyampaian maklumat, khususnya dalam berdepan lambakan maklumat palsu yang semakin banyak berlegar dalam kalangan masyarakat.
“Kita memerlukan sistem yang baik untuk memudahkan komunikasi antara kita dan antara kita dengan rakyat. Banyak perkara palsu berlegar dalam kalangan rakyat.
“Kita akan kalah dalam komunikasi sekiranya kita tidak menguasai aplikasi terkini dalam komunikasi,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Penerangan UMNO bersama Penerangan BN dan Friends of BN di Auditorium UMNO, Menara Dato Onn, di sini, pada Jumaat.
Menurut Suraya, penguasaan terhadap teknologi dan aplikasi komunikasi terkini perlu diberikan perhatian bagi memastikan mesej serta maklumat yang ingin disampaikan kepada rakyat dapat dilaksanakan secara lebih meluas dan berkesan.
Katanya, persediaan tersebut bukan semata-mata berkaitan calon atau parti tertentu, sebaliknya BN perlu memastikan kesiapsiagaan jentera penerangan bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
“Ini bukan mengenai calon atau parti mana, tetapi yang penting BN pasti akan bertanding dalam pilihan raya akan datang.
“Untuk menang, kita memerlukan komunikasi yang berkesan. Alat komunikasi ini yang akan kita gunakan untuk diaplikasikan secara meluas kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata, program berkenaan merupakan langkah terbaik untuk memulakan dan memperkukuh komunikasi antara jentera penerangan UMNO, BN dan Friends of BN.
Dalam masa sama, Suraya berkata UMNO turut mempunyai Sekolah Digital yang boleh menjadi platform bagi meningkatkan pengetahuan serta kemahiran berkaitan aplikasi dan komunikasi digital.
“Ini adalah untuk kita bersedia menghadapi pilihan raya. Setiap parti yang bertanding perlu mengetahui keseluruhan cara kerja dalam pilihan raya masa kini.
“Kita perbaiki cara komunikasi antara kita,” katanya.
Majlis tersebut turut menjadi ruang untuk memperkukuh jaringan kerjasama antara penerangan UMNO, BN dan Friends of BN, selain menyelaras pendekatan komunikasi yang lebih sistematik dalam mendepani landskap politik dan media yang semakin berkembang.
Program yang julung kali diadakan ini disempurnakan dengan kehadiran Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said bersama Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. – UMNO Online
