Menjelang Belanjawan 2027, Sabah Mahu Angka Diterjemah Kepada Hasil
LAHAD DATU, 2 Okt – Menjelang pembentangan Belanjawan 2027 di Parlimen pada 9 Oktober ini, Sabah mahu peruntukan pembangunan yang diumumkan tidak sekadar diterjemahkan dalam bentuk angka, sebaliknya menghasilkan perubahan nyata yang dapat dirasai rakyat.
Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul, berkata rakyat Sabah tidak meminta lebih kerana mahu keistimewaan, tetapi berdasarkan jurang pembangunan yang masih belum ditutup, khususnya dalam kemudahan asas dan pembangunan kawasan luar bandar serta pedalaman.
Menurutnya, ukuran kejayaan tidak seharusnya berhenti pada persoalan berapa bilion ringgit diperuntukkan, tetapi lebih penting ialah sejauh mana peruntukan berkenaan berjaya menyelesaikan masalah rakyat.

“Sabah tidak mahu angka semata-mata. Sabah mahu hasil.
“Soalan yang lebih penting bukan berapa bilion telah diperuntukkan, tetapi berapa banyak jurang pembangunan yang telah kita tutup?”
Beliau berkata Belanjawan 2027 perlu memberi perhatian kepada perkara yang boleh diukur secara jelas, termasuk pembinaan dan penyelenggaraan jalan luar bandar, bekalan air bersih dan elektrik, pembaikan rumah daif, naik taraf sekolah serta klinik dan peluasan capaian komunikasi di kawasan pedalaman.
Katanya, kejayaan juga perlu dilihat berdasarkan jumlah rakyat yang berjaya keluar daripada kemiskinan serta peningkatan kualiti hidup masyarakat di kawasan yang masih ketinggalan dari segi kemudahan asas.
Dalam hal ini beliau juga mengambil aspirasi Agenda Malaysia Biru yang digagaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO 2026, khususnya bagi membentuk negara yang rakyatnya makmur dan saksama serta memastikan pembangunan memberi manfaat nyata kepada rakyat.
“Datuk Seri Ahmad Zahid sebelum ini menegaskan Agenda Malaysia Biru tidak boleh berhenti sebagai gagasan, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada dasar, tindakan dan hasil yang membumi serta merakyat untuk masa depan rakyat Malaysia keseluruhan.
“Semangat ini amat relevan dengan keperluan Sabah. Kita mahu setiap peruntukan yang diluluskan mempunyai sasaran yang jelas dan boleh diukur.
“Kalau jalan masih rosak, air masih tiada, kampung masih bergelap dan sekolah serta klinik masih memerlukan pembaikan, maka jurang itu belum ditutup,” katanya.
Sharif Musa turut mencadangkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah membangunkan Pelan Menutup Jurang Pembangunan Sabah untuk tempoh lima hingga 10 tahun, dengan sasaran tahunan dan laporan pencapaian yang boleh dinilai rakyat.

Katanya, keadaan geografi dan keluasan Sabah serta cabaran pembangunan kawasan pedalaman memerlukan pendekatan “peruntukan berdasarkan jurang pembangunan”, bukan semata-mata berdasarkan angka.
“Jika jurang masih besar, maka keperluan pembangunan juga masih besar.
“Kita mahu melihat jalan yang dahulu rosak menjadi sempurna, kampung yang dahulu tiada air mendapat bekalan air, kawasan yang dahulu gelap mendapat elektrik dan anak-anak pedalaman menikmati kemudahan pendidikan lebih baik. Itulah pembangunan yang rakyat mahu lihat,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan Sabah tidak mahu dilihat hanya sebagai penerima peruntukan, sebaliknya mahu menjadi rakan pembangunan yang mempunyai suara, kuasa pelaksanaan dan tanggungjawab yang jelas.
“Kita tidak mahu bermusuh dengan sesiapa. Kita mahu bekerjasama dengan semua pihak yang membawa manfaat kepada rakyat Sabah.
“Namun kerjasama mesti menghasilkan peruntukan yang mencukupi, pelaksanaan yang berkesan dan hasil yang boleh dilihat rakyat.
“Kita tidak meminta lebih kerana mahu keistimewaan. Kita meminta berdasarkan jurang yang masih belum ditutup. Apa yang penting ialah Sabah Maju, jurang ditutup dan rakyat terbela.” – UMNO Online
