Krisis Adat Biarlah Diselesaikan Secara Adat…
KUALA LUMPUR, 2 Okt – Para pengkaji dan pengamal Adat Perpatih bersependapat bahawa segala krisis yang berlaku khususnya di Negeri Sembilan perlu diselesaikan mengikut lunas adat masing-masing.
Pengamal dan Pengkaji Adat Perpatih, Luar Ulu Muar, Md Fadhil Abdul Majid berkata adat dan pentadbiran moden tidak boleh diselarikan dan mesti bersifat adil.

“Adat ini, orang politik memang tidak boleh campur, melainkan kalau mereka memang pengamal adat. Sebab itu, dalam Adat Perpatih kita ada adat dan undang-undang ataupun hukum yang dipanggil ‘colonial’.
“Ia merupakan dua perkara yang berbeza. Kalau dalam pentadbiran moden, kita ada mahkamah untuk membuktikan salah atau benar. Kita ada hukuman. Tetapi perkara ini tidak berlaku dalam adat,” katanya kepada UMNO Online.
Tambahnya, muafakat menjadi teras utama dalam mengamalkan Adat Perpatih dan tindakan orang politik tidak boleh terus campur tangan.
“Ibu adat adalah muafakat. Ia kena adil kerana dalam adat itu sendiri telah disebut dalam kata teromba, ‘ukur sama panjang, bahagi sama banyak, timbang sama berat’. Ia perlu adil kepada pihak yang dituduh dan yang menuduh.
“Orang politik tidak boleh masuk campur. Perkara adat diselesaikan dengan adat. Masalahnya sekarang ini, orang politik masuk campur. Tetapi kalau dia sudah masuk campur, bak kata pepatah adat, ‘kok tersalah makan, muntahkan… kok tersalah patuk, kitaikan… kok tersalah ambil, kembalikan… kok tersalah panjat, turun balik’.
“Saya berharap orang politik buat kerja politik. Yang bahagian adat, biarlah diselesaikan secara adat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Pewaris Suku Seri Lemak merangkap Ketua Biro Kelab Adat Perpatih Bahagian Pendidikan, Mohamad Hanafiah Maulud turut bersependapat bahawa krisis adat ini perlu diselesaikan secara adat.

“Ini krisis adat, biarlah sesama adat yang menyelesaikan. Itu sahaja. Kalau kisah Undang Yang Empat… kalau boleh dibuat Dewan Keadilan Undang (DKU), selesaikanlah mengikut DKU. Ia akan berbalik kepada perkara asal.
“Jadi, kita dan persukuan yang terlibat, kebanyakannya mereka yang bersuku Biduanda. Pemilihan siapa yang hendak menjadi Datuk Undang mesti daripada Biduanda. Itu berlegar dalam lingkungan persukuan Biduanda dan kerajaan negeri di istana,” katanya kepada UMNO Online.
Krisis adat di Negeri Sembilan secara rasminya telah tercetus pada 17 April 2026 apabila DKU yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, mengadakan sidang khas dan mengesahkan pemberhentian Datuk Mubarak Dohak sebagai Undang Luak Sungai Ujong atas 33 alasan pelanggaran adat.
Krisis tersebut berlarutan apabila bekas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun bertindak untuk tidak menandatangani proklamasi penurunan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir atas arahan Undang Yang Empat.
Keingkaran tersebut telah menyebabkan Undang Yang Empat bersabda menyatakan Aminuddin tidak lagi layak memegang jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan sehingga tercetusnya pembubaran Dewan Undangan Negeri dan Pilihan Raya Negeri.
Ia tidak berhenti di situ saja. Krisis tersebut masih berjalan meskipun Kerajaan Negeri telah bertukar.
Lebih memburukkan keadaan apabila pemimpin politik luar dari Negeri Sembilan mula campur tangan antaranya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan cubaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dan exco menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai biadab dan tidak bertamadun.
Beliau menegaskan bahawa tiada mana-mana pihak dalam pentadbiran negeri mempunyai kuasa atau mandat untuk bertindak sedemikian. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
