Ahmad Zahid Ucap Tahniah Skuad Sepak Takraw Raih Perak Aichi-Nagoya
KUALA LUMPUR, 30 Sept — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada skuad sepak takraw lelaki negara selepas berjaya meraih pingat perak dalam acara regu lelaki pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, semalam.
Menerusi hantaran di media sosialnya, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menyifatkan semangat juang yang dipamerkan pemain negara sehingga penghujung perlawanan sebagai sesuatu yang membanggakan.

Beliau berkata keputusan perlawanan tidak memadam segala usaha, disiplin dan semangat juang yang telah ditunjukkan skuad negara sepanjang kejohanan.
“Teruskanlah melangkah dengan penuh keyakinan kerana setiap keringat yang dicurahkan itu tetap mengharumkan nama negara.
“Syabas wira-wira negara!” katanya.
Skuad negara sebelum itu tewas 0-2 kepada juara bertahan Thailand dalam aksi final acara regu lelaki di Gimnasium Taman Mizuho, Nagoya.
Pingat perak itu melengkapkan pencapaian skuad sepak takraw lelaki negara pada temasya kali ini selepas Malaysia terlebih dahulu meraih pingat emas dalam acara regu berpasukan lelaki. – UMNO Online
