Kompleks Mahkamah Johor Bahru Dijangka Beroperasi Jan 2027 – Azalina

ISKANDAR PUTERI 29 Sept – Kompleks Mahkamah Johor Bahru di Kota Iskandar di sini dijangka mula beroperasi secara rasmi pada 1 Jan tahun hadapan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata kompleks baharu yang dibangunkan di tapak seluas 6.88 hektar itu, menyediakan prasarana lebih moden dan kondusif bagi menyokong kelancaran urusan kehakiman serta memberi kemudahan lebih baik kepada pengguna.

Azalina berkata pembinaan kompleks berkenaan merupakan pelaburan jangka panjang kerajaan dalam memperkukuh institusi kehakiman, serta memastikan akses kepada keadilan yang lebih cekap, saksama dan berintegriti.

“Hari ini bukan sekadar penyerahan sebuah bangunan, tetapi tentang mengukuhkan prasarana bagi institusi yang amat penting kepada negara iaitu institusi kehakiman.

“Mahkamah ialah tempat undang-undang ditegakkan, hak dipertimbangkan dan pertikaian diselesaikan berdasarkan prinsip keadilan dan tidak memihak,” katanya selepas hadir majlis penyerahan projek itu di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Azalina berkata reka bentuk kompleks berkenaan mendapat sentuhan dan ilham Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, dengan mengetengahkan gabungan seni bina tradisional Melayu dan vernakular.

Beliau berkata pihaknya bercadang memohon perkenan mengadap Seri Paduka Baginda bagi menyampaikan warkah penyerahan, selain memohon perkenan Seri Paduka Baginda merasmikan kompleks berkenaan pada tahun ini.

Kompleks itu mempunyai dua blok utama berketinggian tiga dan lima tingkat, serta dilengkapi 24 bilik bicara merangkumi satu Mahkamah Khas, tujuh Mahkamah Tinggi, lapan Mahkamah Sesyen dan lapan Mahkamah Majistret.

la turut dilengkapi kamar hakim, pejabat pentadbiran dan kewangan, auditorium, perpustakaan, ruang tahanan sementara Orang Kena Tuduh (OKT), surau, tadika, kafeteria serta dewan serbaguna berkapasiti 300 orang.

Kemudahan lain termasuk teknologi pemprosesan suara kepada teks dalam sistem pengurusan kes, selain 319 lot parkir kereta termasuk untuk orang kurang upaya (OKU) dan kenderaan elektrik (EV), serta 65 lot parkir motosikal.

Projek berkenaan yang bermula dengan pemilikan tapak pada 8 Feb 2023 dilaksanakan oleh kontraktor utama Cahaya Jauhar Sdn Bhd, menggunakan Sistem Binoon Berindustri (IBS) dengan skor melebihi 70 peratus dan berjaya disiapkan dalam tempoh kontrak.

Azalina berkata susulan penyerahan kompleks baharu itu, bangunan Mahkamah Johor Bahru sedia ada di Jalan Air Molek, akan diserahkan semula kepada kerajaan negeri untuk perancangan selanjutnya.

Sementara itu Nanta berkata projek bernilai kontrak asal RM1945 juta itu, berjaya disiapkan mengikut jadual sejak pemilikan tapak pada 8 Feb 2023.

Beliau berkata kompleks itu merupakan satu daripada 11 projek pembinaan mahkamah bernilai keseluruhan RM736 juta yang dilaksanakan KKR, melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) di seluruh negara.

Nanta berkata projek yang dibangunkan menerusi pendekatan reka dan bina itu, turut mencatatkan 2,001,474 jam bekerja tanpa sebarang kemalangan melibatkan kehilangan masa kerja.

Beliau berkata selepas penyerahan, pengurusan kompleks diserahkan kepada Bahagian Hal Ehwal Undang- Undang (BHEUU), manakala kontraktor utama Cahaya Jauhar Sdn Bhd bertanggungjawab sepanjang tempoh tanggungan kecacatan selama dua tahun dengan pemantauan JKR. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO