Lampu Isyarat Pintar Johor Kurangkan Masa Perjalanan Rakyat

JOHOR BAHRU, 29 Sept – Pelaksanaan Lampu Isyarat Pintar Johor membantu melancarkan aliran trafik dan mengurangkan masa perjalanan pengguna jalan raya menerusi penggunaan teknologi serta data keadaan trafik semasa.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, sistem berkenaan menggunakan sensor, kamera CCTV berasaskan kecerdasan buatan (AI), pemasa dan alat kawalan bagi mengesan jumlah serta aliran kenderaan.

“Teknologi ini membolehkan tempoh lampu isyarat disesuaikan mengikut keadaan sebenar di jalan raya, selain membolehkan koordinasi antara persimpangan supaya pergerakan trafik dapat diurus dengan lebih lancar,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal tersebut.

Menurut beliau, sistem berkenaan turut membolehkan keadaan trafik dipantau secara langsung melalui Pusat Kawalan atau Command Centre Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), manakala Countdown Timer membantu pengguna mengetahui baki masa lampu isyarat.

Di koridor Skudai–Pontian sepanjang enam kilometer yang melibatkan enam persimpangan, masa perjalanan ketika puncak pagi berkurang daripada 20 minit kepada 15 minit, manakala puncak petang daripada 22 minit kepada 17 minit.

Di Jalan Seelong, Kulai pula, masa perjalanan puncak pagi berkurang daripada 18 minit kepada 14 minit, manakala puncak petang daripada 23 minit kepada 16 minit.

Pengurangan masa perjalanan itu turut disertai pengurangan barisan kenderaan di Simpang 273T, Jalan Seelong. Ketika puncak pagi, barisan dari arah Kulai berkurang daripada 650 meter kepada 300 meter, arah Lapangan Terbang Senai daripada 300 meter kepada 180 meter dan arah Seelong daripada 600 meter kepada 350 meter.

“Bagi rakyat, angka-angka ini membawa maksud yang sangat mudah. Kurang masa menunggu di lampu isyarat, barisan kenderaan yang lebih pendek dan perjalanan yang lebih lancar,” katanya.

Bagi Fasa 1, sebanyak 25 persimpangan melibatkan lima PBT telah siap sepenuhnya sehingga September 2026. Fasa 2 pula melibatkan 21 lagi persimpangan di empat PBT dan dirancang siap sepenuhnya pada suku keempat 2026, menjadikan keseluruhan 46 persimpangan.

Mohd Jafni berkata, kerajaan negeri akan terus memantau prestasi sistem berdasarkan data sebenar dan melakukan penalaan mengikut keadaan trafik.

“Matlamat kita jelas, kurangkan masa rakyat menunggu, lancarkan perjalanan dan kembalikan lebih banyak masa kepada rakyat serta keluarga mereka,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO