Tahniah Kontinjen Malaysia Di WorldSkills Shanghai 2026
KUALA LUMPUR, 29 Sept – Kontinjen Malaysia mencatat pencapaian terbaik negara dalam penyertaan di WorldSkills Competition sejak 1995 menerusi WorldSkills Shanghai 2026.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, merakamkan tahniah kepada seluruh kontinjen Malaysia yang berjaya menamatkan cabaran pada pertandingan berkenaan dengan pencapaian yang membanggakan.

Beliau yang juga Presiden UMNO turut mengucapkan syabas kepada Sia Xin Wan yang berjaya meraih pingat gangsa dalam kategori Pengujian Perisian, selain menerima anugerah Best of Nation.
Pada masa sama, seramai 13 lagi peserta Malaysia berjaya meraih Pingat Kecemerlangan dalam bidang masing-masing.
Menurut Ahmad Zahid, pencapaian berkenaan merupakan yang terbaik buat Malaysia di WorldSkills Competition sejak penyertaan negara bermula pada 1995.
Katanya, kejayaan itu membuktikan bakat dan kemahiran anak Malaysia mampu bersaing dengan peserta terbaik di pentas dunia.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jurulatih, pakar, keluarga, institusi serta seluruh pasukan yang bekerja di belakang tabir dalam membantu para peserta mencapai kejayaan.
“Teruskanlah melangkah jauh dan mengharumkan nama negara. Malaysia bangga dengan kalian,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya. – UMNO Online
