Ahmad Zahid Beri Penghormatan Terakhir Buat Tun Dr Siti Hasmah
KUALA LUMPUR, 28 Sept – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkunjung ke kediaman bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini bagi menyampaikan salam takziah susulan pemergian isterinya, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, kunjungannya itu turut bertujuan menziarahi keluarga Tun Dr Mahathir yang sedang berdepan dengan kehilangan insan tersayang.

Beliau menyifatkan pemergian Tun Dr Siti Hasmah sebagai satu kehilangan besar, khususnya selepas puluhan tahun Allahyarhamah bersama Tun Dr Mahathir melalui pelbagai pengalaman kehidupan.
“Melangkah masuk ke kediaman Tun hari ini, terasa benar kesayuan sebuah kehilangan. Setelah puluhan tahun meniti kehidupan bersama, melalui suka dan duka, membina keluarga dan berada di sisi satu sama lain, kehilangan seorang teman hidup tentunya meninggalkan ruang yang amat besar di hati,” katanya.
Menurut Ahmad Zahid, beliau mengenang Allahyarhamah sebagai seorang wanita yang lembut dan sederhana, namun mempunyai keteguhan luar biasa.
Katanya, sepanjang perjalanan hidup Tun Dr Mahathir, Allahyarhamah bukan sahaja berperanan sebagai seorang isteri, malah menjadi tempat bersandar dan teman seperjalanan yang setia sehingga ke penghujung usia.
Ahmad Zahid turut mendoakan agar Tun Dr Mahathir dan seluruh ahli keluarga diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi kehilangan berkenaan.
“Semoga Allah SWT merahmati roh Allahyarhamah dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia turut berkongsi rasa kehilangan atas pemergian seorang tokoh wanita yang begitu dekat di hati rakyat.
Allahyarham Dr Siti Hasmah dilapor meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini dengan berita pemergian disahkan anaknya Tan Sri Mokhzani
Mahathir.
Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun dan meninggalkan tujuh anak. – UMNO Online
