RUU Kebebasan Maklumat Perlu Pastikan Akses Lebih Terbuka, Tidak Banyak Sekatan
KUALA LUMPUR, 28 Sept – Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat 2026 perlu benar- benar memberikan akses kepada maklumat dan tidak seharusnya mempunyai terlalu banyak sekatan sehingga menjejaskan tujuan asal penggubalannya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata perkara itu penting bagi memastikan undang-undang berkenaan memenuhi matlamatnya, selain mengambil kira peranan dan kebebasan media sebagai sebahagian daripada amalan demokrasi negara.
“Anda mesti memastikan jika anda mempunyai Akta Kebebasan Maklumat (FOI), ia mestilah berkaitan dengan maklumat. Anda tidak boleh mempunyal rang undang-undang yang belum apa-apa lagi semuanya tidak boleh… dan saya sangat khuatir tentang media. Bagi saya, sebahagian daripada demokrasi dalam sesebuah negara ialah kebebasan media dan memberikan mereka kebebasan sepenuhnya untuk menjalankan tugas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Pendengaran Awam National Town Hall Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Mengenai RUU Kebebasan Maklumat 2026 di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.
Azalina berkata maklum balas yang diterima menerusi sesi itu menunjukkan respons positif terhadap pewujudan undang-undang berkenaan, namun rakyat mahu melihat tahap keterbukaan yang lebih luas dengan keseimbangan tetap perlu diberikan perhatian.
Beliau berkata sesi berkenaan juga membolehkan JKPK mendengar pandangan orang ramai secara terbuka, termasuk generasi muda, selain membantu jawatankuasa meneliti semula kelemahan yang dikenal pasti dalam naskhah biru sedia ada.
“… kita kena melihat semula sebab naskhah biru yang ada itu memang banyak kelemahan. Kami melihat kelemahan yang ada. Jadi, sesi dialog awam ini baik kerana orang ramal akan mengetahui anggota jawatankuasa pilihan khas amat menyedari kelemahan itu dan juga memahami bahawa perlu ada keseimbangan,” katanya.
Azalina ketika mengulas mengenai langkah seterusnya berkata JKPK akan kembali bermesyuarat selepas sesi dialog awam itu dan meneliti semula perkara yang dibangkitkan sebelum memuktamadkan prosesnya.
“Setakat ini, ini hanyalah sesi dialog awam peringkat kebangsaan. Jadi, kami akan kembali mengadakan mesyuarat jawatankuasa pilihan khas tidak lama lagi dan kemudian meneliti semula perkara ini. Pada asasnya, secara teknikal terdapat rang undang-undang kerajaan, iaitu rang undang-undang biru dan secara teknikalnya jawatankuasa pilihan khas juga akan mempunyal rang undang-undang mereka selepas ini. Jadi, akan terdapat dua rang undang-undang,” katanya.
Terdahulu, Azalina dalam ucapan aluannya berkata RUU Kebebasan Maklumat 2026 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 13 Julai sebelum dirujuk kepada JKPK pada 14 Julai dengan beberapa siri mesyuarat dan prosiding diadakan sejak itu bagi mendapatkan pandangan pihak berkepentingan.
Beliau berkata penelitian itu perlu memastikan undang-undang yang diwujudkan bukan sahaja mempunyai niat yang baik tetapi turut mempunyai peruntukan dan mekanisme pelaksanaan yang jelas.
“Undang-undang yang baik bukan hanya undang-undang yang mempunyai niat yang baik. Undang- undang yang baik mesti mempunyai peruntukan yang jelas serta mekanisme pelaksanaan yang dapat difahami dan boleh dilaksanakan,” katanya.
Pada Julai lepas, Azalina ketika membentangkan RUU Kebebasan Maklumat 2026 untuk bacaan kali pertama berkata RUU berkenaan adalah antara langkah penting dalam memperkukuh ketelusan kebertanggungjawaban dan tadbir urus yang baik, selain meningkatkan akses rakyat kepada maklumat rasmi kerajaan secara teratur serta berlandaskan undang-undang.
Beliau berkata kerajaan juga mengambil maklum pelbagai pandangan yang dikemukakan pertubuhan masyarakat sivil dan pihak berkepentingan berhubung beberapa aspek RUU berkenaan. – BERNAMA
