Tanah Melayu Bukan Sekadar Istilah, Asas Identiti Dan Perlembagaan Negara

MELAKA, 28 Sept — Kedudukan Tanah Melayu perlu difahami sebagai asas kepada kelangsungan nilai, identiti serta kedudukan orang Melayu yang turut berkait rapat dengan agama Islam, bahasa Melayu dan institusi Raja-Raja Melayu.

Prof. Madya Datuk Dr. Shamrahayu A. Aziz berkata, sekiranya kedudukan Tanah Melayu dinafikan, kesannya boleh menjangkaui pelbagai elemen yang menjadi asas pembentukan negara.

Katanya, perkara itu mempunyai kesan berantai kerana kedudukan agama Islam, orang Melayu, bahasa Melayu serta keistimewaan dan prerogatif Raja-Raja Melayu mempunyai kaitan antara satu sama lain dalam kerangka Perlembagaan.

“Apabila Tanah Melayu tidak ada, di mana kedudukan agama orang Melayu? Di mana kedudukan orang Melayu, bahasa Melayu dan keistimewaan serta prerogatif Raja-Raja Melayu.

“Sejarah pembentukan Persekutuan turut memperlihatkan pengorbanan besar Raja-Raja Melayu, termasuk dalam proses pembentukan kewarganegaraan menjelang kemerdekaan.

“Konsep rakyat Raja dan kewarganegaraan merupakan dua perkara berbeza yang perlu difahami berdasarkan sejarah serta kerangka perundangan negara. Penghargaan terhadap institusi Raja-Raja Melayu bukan sekadar soal sejarah, sebaliknya menjadi sebahagian daripada usaha memastikan kedudukan institusi berkenaan terus dihormati dan diiktiraf atas sumbangan dalam pembentukan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Musyawarah Nasional 3.0: Membongkar Polemik Tanah Melayu, di Melaka International Trade Centre (MITC), Melaka pada Sabtu.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengasas Musyawarah Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Pengerusi Musyawarah Nasional Tan Sri Abdul Ghani Osman; Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Rozi Mamat; Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin; Datuk Seri Dr Shafie Abdullah; kepimpinan UMNO Negeri Melaka dan peserta-peserta Musyawarah Nasional 3.0.

Tambah Shamrahayu lagi, perkara berkaitan kedudukan Tanah Melayu, orang Melayu dan kepentingan komuniti Melayu sebenarnya telah lama terbentuk dalam kerangka sejarah dan Perlembagaan, namun cabaran utama adalah memastikan kefahaman serta penghayatan terhadap perkara itu terus diperkukuh.

Sementara itu bagi Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong menjelaskan kedudukan Tanah Melayu sebagai sebuah entiti politik dan sejarah adalah sesuatu yang jelas serta diketahui umum, malah terdapat pelbagai rekod dari luar rantau ini yang mengesahkan kewujudannya.

“Tanah Melayu ini sebagai satu entiti politik dan sebagainya, sudah jelas sekali dan sangat diketahui umum. Pada saya, ia bukan isu langsung. Tak perlu lagi kita polemikkan atau serang dengan begitu agresif.

“Kepelbagaian istilah berkenaan tidak mengubah hakikat bahawa rujukan tersebut merujuk kepada entiti dan wilayah Melayu yang telah lama dikenali dalam catatan sejarah. Jadi, tidak ada apa-apa yang perlu disangsikan. Tanah Melayu ini memang Tanah Melayu,” tegasnya.

Dalam pada itu, Teo turut menyentuh kedudukan Sabah dan Sarawak yang mempunyai komposisi etnik serta sejarah perkembangan masyarakat yang tersendiri.

“Sabah dan Sarawak adalah Tanah Melayu-an. Di Sabah dan Sarawak, etnik Melayu memang tidak signifikan seperti di Tanah Melayu.

“Kelompok etnik yang signifikan di Sabah ialah antaranya Kadazan-Dusun dan Murut, manakala Sarawak pula mempunyai kelompok etnik pribumi yang tersendiri,” jelasnya.

Beliau menegaskan, perbezaan komposisi etnik antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak tidak seharusnya mengaburkan kefahaman terhadap istilah dan kedudukan Tanah Melayu dalam konteks sejarah. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO