Perkukuh Sejarah, Fahami Asas Negara – Ahmad Zahid
MELAKA, 26 Sept – Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengasas Musyawarah Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengemukakan tiga cadangan utama menerusi Musyawarah Nasional 3.0 sebagai usaha memperkukuh kefahaman sejarah, asas kenegaraan serta keharmonian negara.
Beliau yang juga Presiden UMNO menegaskan cadangan pertama adalah memperkukuh pendidikan sejarah supaya generasi muda bukan sekadar menghafal fakta, tetapi dibimbing meneliti sumber, memahami bagaimana sesuatu sejarah dibentuk dan dibuktikan.
“Berilah mereka ruang untuk bertanya dan menguji tafsiran, dengan tetap bertanggungjawab terhadap fakta. Dalam dunia yang dibanjiri maklumat, keupayaan ini semakin penting. Teknologi boleh menjadikan sesuatu cerita tular, tetapi ilmu diperlukan untuk menguji sama ada cerita itu benar.
“Kedua, bina kefahaman bersama tentang asas negara. Walau berbeza aliran pendidikan, setiap anak Malaysia perlu memahami sejarah pembentukan negara, Kita mahu mereka melangkah ke dunia dengan pandangan yang luas, sambil tetap mengenali tanah air dan tanggungjawab terhadapnya. Semakin luas dunia yang mereka terokai, semakin kukuh akar yang perlu kita pasakkan.
“Ketiga, kaji keperluan kerangka perundangan khusus untuk memelihara keharmonian negara. Hasutan kebencian mesti ditangani melalui peruntukan yang jelas dan proses yang adil. Pada masa yang sama, kajian akademik, perbahasan berasaskan fakta dan kritikan yang sah mesti terus dilindungi. Ruang ilmu perlu subur, dan kehidupan bersama perlu terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Musyawarah Nasional 3.0: Membongkar Polemik Tanah Melayu, di Melaka International Trade Centre (MITC), Melaka hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Pengerusi Musyawarah Nasional Tan Sri Abdul Ghani Osman; Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Rozi Mamat; Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin; Datuk Seri Dr Shafie Abdullah; kepimpinan UMNO Negeri Melaka dan peserta-peserta Musyawarah Nasional 3.0.
Dalam masa sama Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, merumuskan satu pegangan penting daripada Musyawarah Nasional menerusi gagasan “AKAR” sebagai landasan dalam memahami sejarah, kenegaraan, mengurus perbezaan dan membina masa depan bersama.
“A’ adalah asal usul difahami dengan ilmu. Tafsiran boleh berbeza, tetapi fakta tidak boleh dipilih mengikut
selera.
“K’ adalah kenegaraan berpaksi perlembagaan. Asas negara mesti difahami secara menyeluruh dan dihormati bersama.
“A’ adalah adab mengurus perbezaan.
Tegas mempertahankan hujah, tertib menghormati sesama manusia Dan terakhir adalah ‘R’ iaitu rakyat berkongsi masa hadapan. Tanah air ini tanggungjawab bersama, kemakmurannya mesti dirasai semua,” katanya lagi.
Ujarnya, berpegang pada “AKAR” ini, Musyawarah mesti membawa hasil selepas polemik dibongkar, mesti ada kefahaman yang dibina.
Tambah Pengerusi Barisan Nasional (BN) semangat inilah yang mendasari Agenda Malaysia Biru menuju 100 tahun kemerdekaan yang telah saya gariskan sebelum ini.
“Kita mahu kekuatan sejarah dan jati diri diterjemahkan kepada kemajuan yang dapat dinikmati bersama.Salah satu ikhtiar dalam Agenda Malaysia Biru ialah Malaysia Negara Pemilik.
“Kita mahu rasa memiliki tanah air ini berakar pada kefahaman sejarah dan diperkukuh oleh peluang membina
kehidupan yang bermakna. Apabila rakyat mempunyai kediaman, usaha dan hasil titik peluh untuk diwariskan, ikatan mereka dengan tanah air yang lebih kukuh.
“Kita mahu anak cucu berdiri di bumi ini dengan bangga kerana mereka mengenali sejarahnya, mempunyai tempat dalam kemakmurannya dan berupaya menentukan masa hadapannya. Di sinilah akar menjadi kekuatan, dan rasa kepunyaan menjadi tekad,” ujarnya lagi. – UMNO Online
