Suruhanjaya Ekonomi Gig perlu disegerakan – Fairuz
KUALA LUMPUR, 26 Sept — Kerajaan digesa mempercepatkan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig bagi memastikan sektor ekonomi gig di Malaysia mempunyai mekanisme penyelarasan dasar dan kawal selia yang lebih menyeluruh.
Setiausaha Agung Majlis Ekonomi GiG Malaysia (MyGiG), Fairuz Jamaluddin berkata, penubuhan suruhanjaya berkenaan amat penting memandangkan sektor ekonomi gig kini melibatkan pelbagai kementerian dan agensi.
Menurut beliau, satu badan khusus diperlukan bagi memastikan kepentingan pekerja gig, pengguna, syarikat platform dan kerajaan dapat diselaraskan secara lebih berkesan.
“Suruhanjaya ini dilihat penting bagi mewujudkan satu badan yang dapat menyelaras dasar, kawal selia serta pembangunan industri ekonomi gig secara lebih menyeluruh,” katanya dalam kenyataan selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MyGiG 2026 yang berlangsung di Kuala Lumpur, 22 September lalu.
Fairuz berkata, MyGiG turut mencadangkan kerajaan mengkaji semula struktur dan jumlah syarikat yang diberikan lesen untuk menjalankan operasi e-hailing dan p-hailing.
Katanya, pertumbuhan jumlah platform perlu mengambil kira saiz pasaran, jumlah pemandu dan penghantar serta kemampuan industri menyediakan pendapatan yang munasabah kepada mereka yang bergantung kepada sektor berkenaan.
“Dasar yang lebih tersusun diperlukan bagi mengelakkan keadaan terlalu banyak platform bersaing dalam pasaran yang sama sehingga akhirnya memberi kesan kepada pendapatan pekerja gig,” katanya.
Dalam pada itu, Fairuz berkata MyGiG mencadangkan sekurang-kurangnya 40 peratus penyertaan dalam industri e-hailing dan p-hailing melibatkan syarikat tempatan.
Beliau berkata, langkah tersebut bertujuan memastikan perkembangan ekonomi digital dan ekonomi gig turut memberi manfaat kepada syarikat serta usahawan tempatan.
“Persaingan terbuka masih perlu dikekalkan, tetapi pemain tempatan perlu diberikan ruang yang sewajarnya untuk berkembang dan membina teknologi serta platform sendiri,” katanya.
Mengulas aspek perlindungan pekerja, Fairuz berkata kerajaan juga perlu mengkaji mekanisme perlindungan insurans yang lebih menyeluruh, mudah difahami dan mampu dimiliki pekerja gig.
Menurutnya, pekerja e-hailing dan p-hailing terdedah kepada pelbagai risiko ketika menjalankan tugas, khususnya kemalangan jalan raya.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang dasar baharu berkaitan ekonomi gig perlu mengambil kira kesan langsung terhadap pendapatan dan kebajikan pekerja.
“Pekerja gig bukan sekadar pengguna aplikasi atau penyedia perkhidmatan. Mereka merupakan sebahagian daripada tenaga kerja negara yang menyumbang kepada pergerakan ekonomi,” katanya.
Fairuz berkata MyGiG bersedia bekerjasama dengan kerajaan, syarikat platform, pekerja gig serta semua pihak berkepentingan bagi membangunkan ekosistem ekonomi gig yang lebih tersusun.
Katanya, pendekatan secara bersama penting supaya dasar yang dibentuk mengambil kira pandangan dan realiti pemain industri di lapangan.
“Ekonomi gig sedang berkembang dan dasar yang kita bina hari ini akan menentukan masa depan ratusan ribu pekerja yang bergantung kepada sektor ini,” katanya.
Fairuz berharap perkara yang dibangkitkan dalam AGM MyGiG 2026 itu diberikan perhatian serius dan dibawa ke peringkat dasar bagi mewujudkan penyelesaian yang praktikal, adil dan mampan.
Beliau berkata MyGiG akan terus menjadi suara kepada pekerja dan pemain industri ekonomi gig serta bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan sektor itu terus berkembang dan memberi manfaat kepada rakyat serta ekonomi negara.- UMNO Online
