Jelas Bekas MB Gagal Faham Fungsi, Punca Kuasa Undang Yang Empat
KUALA LUMPUR, 25 Sept – Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berpandangan bahawa bekas Menteri Besar (MB) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun gagal memahami fungsi dan punca kuasa Undang Yang Empat.
Ujarnya, tindakan Aminuddin menjadi jurucakap kepada Dewan Keadilan Undang (DKU) lebih memburukkan lagi keadaan.

“Itu bermaksud bekas Menteri Besar tidak memahami Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri atau lebih tepat lagi, buat-buat tidak memahami atas apa jua motif yang kita tidak tahu.
“Lebih memburukkan keadaan, bekas Menteri Besar bertindak sebagai jurucakap kepada DKU, sesuatu yang sebelum ini tidak pernah berlaku. Lebih parah lagi, pengumuman bagi pihak DKU itu pula dikatakan tidak betul dan bersifat bohong.
“Persoalannya, mengapa fakta dan minit mesyuarat DKU pada 17 haribulan disembunyikan?” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok menegaskan bahawa Aminuddin juga tidak tahu bahawa Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) tidak mempunyai kuasa untuk menurunkan Yang di-Pertuan Besar .
“Kesimpulannya, punca krisis dan bencana perlembagaan ketika ini jelas berpunca daripada keculasan dan kelemahan bekas Menteri Besar yang gagal memahami fungsi serta punca kuasa Undang Yang Empat.
“Beliau sendiri tahu bahawa Menteri Besar dan Exco tidak mempunyai kuasa untuk menurunkan Yang di-Pertuan Besar daripada takhta, sebaliknya hanya berperanan menguruskan proklamasi yang telah dipersetujui oleh Undang Yang Empat,” katanya lagi.

Pada Jumaat media melaporkan, Aminuddin Harun mempersoalkan tindakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim yang menandatangani dokumen proklamasi berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar sedangkan sebelum ini beliau memilih untuk tidak menandatangani dokumen sama.
Beliau berkata, dokumen proklamasi bertarikh 19 April 2026 itu pernah dikemukakan kepadanya pada 20 April lalu ketika beliau masih memegang jawatan Menteri Besar untuk ditandatangani mengikut Perkara 10(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959. – UMNO Online
