Wanita BN Selangor Perkukuh Gerak Kerja, Bina Semula Keyakinan Rakyat
KUALA LUMPUR, 25 Sept – Wanita Barisan Nasional (BN) akan terus memperkukuh gerak kerja di akar umbi di samping menyantuni rakyat untuk membina semula keyakinan rakyat di negeri tersebut terhadap parti.
Pengarah Komunikasi Strategik Wanita UMNO Selangor, Nik Suryani Megat Deraman memaklumkan beliau telah hadir ke pelancaran BN ONE Selangor yang menjadi titik permulaan kepada penyelarasan gerak kerja jentera komunikasi untuk menghadapi pilihan raya.

“Malam tadi saya hadir mewakili Ketua Penerangan Wanita UMNO Selangor ke Taklimat Program Pemantapan Komunikasi BN Selangor dan Pelancaran ‘BN ONE Selangor’ yang berlangsung di Bangunan UMNO Selangor.
“Tahniah diucapkan kepada Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah atas pelantikan sebagai Ketua Komunikasi BN Selangor. Amanah ini hadir pada masa yang penting, ketika penyelarasan komunikasi dan gerak kerja penerangan perlu diperkukuhkan secara lebih tersusun, bersepadu serta konsisten.
“Menurut Datuk Armand, BN ONE Selangor menjadi titik permulaan kepada penyelarasan gerak kerja jentera komunikasi BN Selangor dalam perjalanan menuju pilihan raya,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Ujarnya, kedinamikan politik yang berlaku pada zaman kini boleh memungkin sebarang perubahan.
“Dengan semangat ‘One Team, One Mission’, seluruh jentera komunikasi diperkasakan melalui kesepaduan, koordinasi dan komitmen bersama supaya setiap mesej, naratif dan gerak kerja dapat disampaikan dengan lebih jelas, konsisten serta berkesan.
“Sudah 18 tahun negeri Selangor berada di bawah pentadbiran parti lain. 18 tahun bukan tempoh yang singkat. Namun jangan lupa, UMNO/BN juga pernah memimpin Selangor hampir lima dekad.
“Sejarah mengajar kita bahawa politik sentiasa berubah. Tiada sesuatu yang kekal selama-lamanya dan tiada jalan yang tertutup selama-lamanya,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa tugas BN Selangor adalah untuk membina semula keyakinan rakyat dan berkhidmat tanpa sebarang retorik dalam menyuarakan keresahan rakyat.
“Tugas BN Selangor hari ini adalah membina semula keyakinan rakyat dan memperjuangkan isu-isu yang dekat dengan kehidupan mereka. Bukan dengan retorik, tetapi melalui kerja yang nyata, khidmat yang ikhlas dan keberanian untuk menyuarakan keresahan rakyat.
“Dalam usaha ini, Wanita BN Selangor akan terus memperkukuhkan gerak kerja di akar umbi, menyantuni rakyat, memahami denyut nadi mereka dan membawa isu serta suara yang didengar untuk diperjuangkan.
“Komunikasi yang berkesan bukan sekadar menyampaikan mesej. Ia bermula dengan mendengar, memahami dan bertindak. 18 tahun parti lain perintah bukan alasan untuk kita berundur. 18 tahun adalah peringatan untuk kita bekerja lebih kuat. Tiada yang mustahil dalam politik. Kita usaha. Kita ikhlas. Kita tawakal,” katanya lagi.
Turut hadir ke program tersebut ialah Setiausaha BN Selangor, Datuk Satim Diman, Ketua Komunikasi BN Selangor, Datuk Armand Azha, Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Dr Zaidi Mohd Zain, Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin, Ketua-Ketua Penerangan MCA dan MIC Selangor serta rakan-rakan Friends of BN.
Untuk rekod, seramai 180 pimpinan penerangan parti-parti komponen hadir, menunjukkan komitmen bersama untuk memperkukuhkan gerak kerja komunikasi BN Selangor. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
