Crowdfunding Bantu Najib Berpotensi Dapat Sokongan – Hasnal Rezua

KUALA LUMPUR, 24 Sept – Usaha mengumpul dana menerusi pendanaan awam (crowdfunding) bagi membantu Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan denda RM50 juta berpotensi mendapat sokongan daripada kenalan lama dan penyokong bekas Perdana Menteri itu.

Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Hasnal Rezua Merican berkata, rangkaian kenalan serta penyokong Najib berkemungkinan tampil menyumbang bagi membantu memenuhi jumlah yang ditetapkan sebagai antara prasyarat bagi pelaksanaan tahanan di rumah.

Bagaimanapun, beliau berkata, jumlah RM50 juta bukanlah kecil dan kemampuan kutipan menerusi sumbangan orang ramai perlu dinilai secara realistik.

“Saya percaya memang ramai yang akan menyumbang, mungkin daripada kenalan dan rangkaian lama yang boleh menyumbang.
“Tetapi kalau kita hanya mengharapkan sumbangan, kita kena lihat sejauh mana jumlah itu boleh dikumpulkan,” katanya.

Hasnal Rezua yang juga pengamal undang-undang berkata, selain usaha mendapatkan sumbangan awam, pasukan peguam Najib turut berusaha mendapatkan pelepasan sebahagian aset yang masih dalam proses atau berada di bawah kawalan pihak berkuasa.

Menurut beliau, sebarang usaha mendapatkan dana juga perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa.

“Namun jika gagal, permohonan pelepasan aset boleh dibuat di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, bayaran denda RM50 juta perlu dipenuhi bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman menerusi tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

“Kalau tidak bayar, bermakna beliau tidak mendapat tahanan rumah itu. Kalau tidak selesai, beliau kekal di Penjara Kajang,” katanya.

Jumaat lalu, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bersidang di Istana Negara.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan memperkenankan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta syarat yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Hasnal Rezua menjelaskan pelaksanaan tahanan di rumah bukan bermaksud Najib bebas menjalani kehidupan seperti biasa kerana kediaman berkenaan tetap berfungsi sebagai lokasi menjalani hukuman dan tertakluk kepada kawalan Jabatan Penjara.

Beliau berkata, lawatan keluarga boleh dihadkan kepada hari dan tempoh tertentu, manakala akses kepada peguam dijangka lebih fleksibel bagi membolehkan urusan guaman dijalankan.

Penggunaan telefon, komputer riba dan peranti elektronik lain serta akses kepada media sosial juga boleh tertakluk kepada syarat dan kawalan yang ditetapkan.

Bagi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang masih dalam peringkat rayuan, Hasnal Rezua berkata, Najib tetap perlu berdepan dengan hukuman yang akan ditentukan kelak. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO