Kepercayaan Rakyat Lendu Amanah Paling Bermakna Buat Sulaiman
MELAKA, 24 Sept – Kepercayaan yang diberikan rakyat menjadi antara amanah paling bermakna buat Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sepanjang tempoh beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan.
Sulaiman yang juga bekas Ketua Menteri Melaka berkata, setiap kepercayaan, sokongan dan doa daripada masyarakat Lendu menjadi kekuatan untuk beliau terus membawa suara rakyat serta berusaha memastikan kebajikan dan pembangunan kawasan berkenaan diberi perhatian.
Menurut beliau, pengalaman berkhidmat sebagai wakil rakyat bukan sekadar tanggungjawab di atas kertas, sebaliknya memberikan peluang untuk beliau bersama masyarakat, mendengar permasalahan serta memahami keperluan rakyat secara lebih dekat.
“Dengan penuh rasa rendah hati, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh warga DUN Lendu atas segala kepercayaan, sokongan, doa dan kasih sayang yang telah diberikan kepada saya sepanjang saya menjalankan amanah sebagai wakil rakyat,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau telah berusaha sedaya upaya untuk membawa suara rakyat, menjaga kebajikan serta melaksanakan pembangunan demi kesejahteraan masyarakat di DUN Lendu.
Dalam masa sama, Sulaiman mengakui masih terdapat kekurangan dan perkara yang belum dapat dilaksanakan seperti yang diharapkan.
Sehubungan itu, beliau memohon maaf kepada seluruh warga Lendu sekiranya sepanjang tempoh menjalankan amanah tersebut terdapat kesilapan, kelemahan atau perkara yang tidak dapat ditunaikan.
“Segala teguran, pandangan dan kritikan daripada rakyat saya terima sebagai sebahagian daripada proses memperbaiki diri dan perkhidmatan,” katanya.
Sulaiman berkata, setiap pertemuan dan pengalaman bersama masyarakat Lendu akan terus menjadi kenangan yang amat bermakna buat dirinya.
“Sesungguhnya, menjadi wakil rakyat DUN Lendu merupakan satu amanah dan pengalaman yang amat bermakna dalam hidup saya.
“Setiap pertemuan, setiap senyuman, setiap doa dan setiap kisah yang dikongsikan oleh rakyat akan sentiasa saya hargai dan kenang,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Lendu yang telah memberikan kepercayaan kepadanya untuk berkhidmat serta bersama-sama dalam pelbagai usaha demi kepentingan masyarakat.
“Terima kasih warga Lendu. Terima kasih kerana pernah memberikan saya kepercayaan untuk berkhidmat.
“Terima kasih atas segala sokongan dan kebersamaan. Mohon maaf atas segala kekurangan,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar seluruh warga DUN Lendu dan keluarga terus dilimpahkan rahmat, keberkatan, keselamatan serta kesejahteraan oleh Allah SWT,” katanya. – UMNO Online
